25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Shahrir Samad lepas kes pengubahan wang haram RM1 juta

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Tinggi hari ini mengarahkan supaya Tan Sri Shahrir Ab Samad dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi Felda itu.

“Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa pendakwaan tidak akan diteruskan terhadap tertuduh dalam masa terdekat. Dalam keadaan sedemikian adalah wajar tertuduh dilepaskan dan dibebaskan.

“Saya mengguna pakai peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah untuk perintah itu. Tarikh sambung bicara pada 27 dan 28 Februari ini dilapangkan.

“Wang jaminan dipulangkan kepada penjamin dan pasport dikembalikan kepada tertuduh, manakala semua eksibit dipulangkan kepada pembelaan serta pendakwaan,” katanya.

Turut hadir, peguam pemerhati Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib yang sepatutnya memberi keterangan selaku saksi pendakwaan ke-23.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, berkata pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan dan memohon supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan.

Hakim kemudian meminta pendakwaan mengemukakan alasan atas tindakan tidak meneruskan pendakwaan terhadap Shahrir dalam masa terdekat.

Sementara itu, peguam bela Shahrir, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, berkata permohonan pendakwaan supaya anak guam dilepaskan tanpa dibebaskan tidak memberi kebebasan mutlak.

Katanya, Shahrir diheret ke mahkamah sejak 2020, malah keluarga bekas Pengerusi Felda itu turut merasa malu terhadap pertuduhan dibuat.

Anak guam dilepaskan tanpa dibebaskan didakwa hanya akan menyebabkan tertuduh tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya jika akan diheret di mahkamah pada masa akan datang.

“Pendakwaan tidak diteruskan hingga peringkat akhir, sebaliknya dihentikan di tengah jalan. Berhenti sejenak bukan mutlak (lepas tanpa bebas). Pendakwaan sudah bawa 22 saksi dan 102 dokumen digunakan sebagai eksibit dalam mahkamah,” katanya.

Untuk rekod, Shahrir, 73, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan