31.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

OPR dijangka boleh terus kekal pada kadar 2.75 peratus – Rafizi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KADAR dasar semalaman (OPR) boleh terus kekal pada paras 2.75 peratus sekiranya kadar inflasi di negara ini terus mereda pada bulan-bulan akan datang, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, kadar inflasi pada Disember 2022 mereda kepada 3.8 peratus berbanding 4.0 peratus pada November 2022 seperti yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat lepas.

Rafizi berkata, antara faktor yang memacu inflasi di pasaran tempatan, sebahagian besarnya disumbangkan oleh harga makanan.

“Jika OPR pada paras 2.75 peratus dan kadar inflasi terus mereda pada Januari dan Februari ini, itu akan menunjukkan OPR boleh kekal pada 2.75 peratus,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai hubung kait antara kenaikan OPR dalam menangani kenaikan inflasi.

Advertisements

Secara teorinya, kata beliau, Bank Negara (BNM) akan menggunakan dasar monetari iaitu menerusi OPR untuk mengekang tekanan kenaikan inflasi di pasaran tempatan.

“Apabila inflasi meningkat lebih cepat, kemudiannya anda mahu mengehadkan permintaan, jadi caranya adalah dengan menaikkan OPR.

“Perkara ini memerlukan banyak usaha. Kita masih boleh mengurangkan inflasi di samping mengekalkan OPR. Sekiranya kita lebih peka dengan harga, kita diharap boleh mengekalkan OPR pada paras semasa yang dimahukan rakyat,” katanya.

Pada 19 Januari lepas, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut.

Kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lepas bermula Mei, Julai, September dan November dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.-BERNAMA

Advertisements

Terkini

Masa depan negara cerah jika pekerja terus komited – Zahid

MASA depan negara akan lebih cerah jika semua pekerja di segenap sector memberikan komitmen dan berusaha untuk menjadi yang...

Lagi Artikel Berkaitan