PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke daerah Kluang melawat mangsa banjir hari ini.
Baginda berkenan berangkat ke dua pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana yang menempatkan lebih 400 mangsa dan Sekolah Agama Kampung Sri Tengah 01, yang menempatkan 76 mangsa.
The Royal Johor menerusi hantaran di Facebook berkata, Tuanku Raja Zarith meluangkan masa bertanya khabar, memberikan semangat serta mengurniakan sumbangan kepada mangsa.
Hadir sama mengiringi Baginda, isteri Setiausaha Kerajaan Johor, Puan Sri Datin Dr. Noor Azizah Abd Latiff; Pegawai Daerah Kluang, Jamaludin A. Hamid serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin Nisa Ismail.
Sehingga jam 4 petang tadi, sebanyak lima lagi daerah di Johor selain Kluang dilanda banjir.
Ia melibatkan daerah Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat yang telah menjejaskan lebih 4,300 penduduk.
Berdasarkan laporan media, bilangan mangsa banjir di Johor meningkat kepada 4,368 membabitkan 1,218 keluarga ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, ia berbanding seramai 4,207 mangsa membabitkan 1,164 keluarga ditempatkan di 45 PPS pada jam 2 petang.
Beliau berkata, terdahulu 3,967 mangsa membabitkan 1,104 keluarga yang ditempatkan di 41 PPS pada 12 tengahari tadi manakala pada jam 8 pagi tadi 3,612 mangsa daripada 1,014 keluarga yang ditempatkan di sebanyak 35 PPS di seluruh negeri. – Edisi 9