32.7 C
Kuala Lumpur
Monday, March 27, 2023

Negara rugi RM150 juta, 10 peratus syarikat tak bayar SST

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

NEGARA mengalami kerugian sebanyak RM150 juta pada tahun lalu ekoran kurang 10 peratus daripada syarikat dan industri gagal membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Sehubungan itu, tegas Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Sazali Mohamad, ahli-ahli lembaga pengarah syarikat terbabit akan berdepan tindakan sekatan ke luar negara.

“Syarikat yang culas membayar cukai akan dikenakan penalti lebih tinggi jika tidak menyelesaikan dalam tempoh diberikan, malah oleh dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan undang-undang jika masih gagal.

“Kami mendapati hanya sekitar 90 peratus entiti perniagaan di negara ini yang membayar cukai dengan baik setiap tahun,” katanya selepas menyempurnakan Program Handholding SST ‘Ikrar Betul, Bayar Betul’ di Putrajaya, hari ini.

Ujar Sazali, walaupun jumlah yang gagal membayar cukai itu kecil, namun ia tetap memberi impak kepada kerajaan.

Baca juga:   Banjir: Jumlah kerugian cecah RM6.1 bilion

Dalam pada itu, Sazali berkata, pihaknya merekodkan kutipan keseluruhan hasil berjumlah RM53.54 bilion tahun lalu iaitu meningkat 25.97 peratus atau RM11.0 billion berbanding kutipan RM42.50 billion tahun sebelumnya.

Menurutnya, pihaknya turut menyasarkan kutipan cukai berjumlah RM52 billion tahun ini dan komited melaksanakannya serta bersedia menghadapi sebarang cabaran dalam melaksanakan amanah kerajaan.

“Peningkatan hasil cukai tahun lalu disumbangkan melalui kutipan cukai jualan, cukai perkhidmatan, duti eksais, duti import dan levi selain disokong pertumbuhan ekonomi yang semakin menggalakkan berbanding 2020 dan 2021.

Baca juga:   Terminal, stesen pengangkutan awam beroperasi seperti biasa

“Kami juga akan membuat penjajaran semula strategi kutipan cukai ditetapkan kerajaan seperti meningkatkan kecekapan, memberi fasiliti perdagangan lebih efisyen, meningkat tahap pematuhan industri melalui aktiviti pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang lebih telus menerusi pengauditan bersasar,” katanya.

Sementara itu, Sazali berkata, program dua hari itu bertujuan membuka ruang seluasnya kepada orang ramai untuk mengemukakan sebarang masalah dan mendapatkan info terkini berkenaan percukaian SST.

Menurutnya, program itu diadakan bersempena Hari Kastam Sedunia yang disambut pada 26 Januari lalu.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan