29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Ismail Sabri bimbang orang muda makin kurang percaya UMNO

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEPUTUSAN perwakilan meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang dilihat akan mengurangkan lagi kepercayaan orang muda terhadap parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hal ini kerana keputusan itu jelas bertentangan dengan hasrat dan aspirasi golongan berkenaan yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan termasuklah dalam isu memilih pemimpin.

“Apa yang membimbangkan saya adalah dari segi orang muda. Dalam perbahasan, kita banyak bercakap soal hendak kembalikan kepercayaan orang muda kepada kita kerana idealisme mereka bercakap tentang soal demokrasi dan sebagainya.

“Tentu sahaja melihat apa yang kita lakukan bertentangan dengan idealisme mereka. Mereka hendak sebuah parti yang terbuka, beri kebebasan, hak untuk bertanding sebagai contoh, tetapi tidak dipertandingkan.

“Jadi, dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan, ianya akan mengurangkan lagi kepercayaan orang muda kepada keterbukaan UMNO yang akan menyekat minat kepada kita (UMNO) mereka. Itu yang membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

Terdahulu, dua jawatan tertinggi UMNO melibatkan Presiden dan Timbalan sah tidak dipertandingkan pada Pemilihan UMNO akan datang.

Ketua Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara itu dicapai dan mendapat persetujuan majoriti daripada perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022).

Menurutnya, keputusan dimuktamadkan selepas perwakilan bangun dan mengangkat tangan pada sesi pengundian agar dua jawatan berkenaan tidak dipertandingkan.

“Bahagian UMNO lebih 90 peratus sokong kepada usul ini supaya tidak diadakan ada pemilihan dan solidariti untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.

Isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.

Ahmad Zahid menang jawatan Presiden untuk tempoh 2018-2021 pada Pemilihan UMNO 2018.

Beliau menewaskan pencabarnya termasuk Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, Khairy (51 undi), manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.

Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pula menang dengan 75 undi menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagi saingan jawatan Timbalan Presiden.

-EDISI9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan