28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pakai topeng, tudung ceroboh Menara Merdeka 118 – Angela

Impian Angela ialah untuk cipta kenangan dengan berkongsi pemandangan dari menara tertinggi dunia

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PASTI ramai antara kita ingin mengetahui bagaimana pasangan daripada Rusia berjaya menceroboh Menara Merdeka 118 yang tular baru-baru ini.

Berikutan itu buat pertama kalinya, wanita warga Rusia yang dikenali Angela Nikolau itu membuat pendedahan tindakannya melalui Twitternya.

Dalam ciapan tersebut dia turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana berbuat demikian (ceroboh).

Menceritakan detik itu, katanya, dia berjaya menceroboh menara itu dengan cara menyamar sebagai salah seorang pekerja kontraktor.

“Saya jatuh cinta dengan Menara Merdeka 118 sebaik sahaja saya lihat menara itu. Ia merupakan bangunan yang sangat megah di tengah-tengah bandar yang menakjubkan dan saya perlu terokai serta berkongsi pemandangan dengan orang ramai.

“Saya sewa sebuah apartmen dengan pemandangan menara itu, jadi saya boleh jalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan itu sebelum memasukinya,” ciapnya semalam.

Angela berkata, dia memulakan misi menceroboh itu dengan memakai topeng muka, tudung, cermin mata dan uniform pekerja bangunan untuk menyamar.

“Saya berlari ke tingkat 32 pertama sehingga keadaan menjadi terlalu panas.

“Keadaan itu memaksa saya baring di atas lantai dalam keadaan tidak berpakaian untuk menyejukkan diri sedikit dan minum semua air yang ada,” katanya.

Angela berkata, dia turut berdepan detik cemas apabila hampir tertangkap ketika sedang berehat.

“Saya jumpa tempat berlindung dalam kotak konkrit kecil di mana saya tidak dapat meregangkan kaki dan perlu habiskan masa lebih 20 jam di situ.

“25 jam kemudian, saya tiada makanan, minuman serta tidak tidur. Saya tak dapat regangkan kaki dan seluruh badan sakit. Nak menangis juga tak boleh kerana bimbang pekerja bangunan dengar tangisan saya,” katanya lagi.

Tambah Angela, tiga jam kemudian dia perlu meneruskan misi itu walaupun berdepan kesukaran.

“Jika saya tidak mula bergerak, saya akan terlalu lemah untuk menyelesaikan misi ini.

“Saya perlu kuatkan diri dan lakukan sesuatu. Nasib baik pekerja sedang berehat dan saya dapat keluar dan berlari ke puncak menara,” ujarnya.

Angela turut memaklumkan menara berkenaan setinggi 53 tingkat dan dia memanjat sambil membawa beg galas seberat 15 kilogram.

“Saya tak pasti saya akan panjat jika saya tahu ketinggian menara ini. Selepas mendaki, saya tidak dapat rasakan tangan saya serta tidak boleh mengangkatnya.

“Semangat saya semakin meningkat bila saya nampak pemandangan dari atas. Kini musim hujan jadi saya menjangkakan keadaan awan kelabu, tetapi sebaliknya saya lihat sinaran matahari dan kecantikan luar biasa,” ujarnya.

Katanya, ia merupakan keajaiban peribadi bagi dirinya dan perkara itu membuatkan dia kembali bertenaga dan apa yang dilakukannya berbaloi.

“Pendakian ini adalah yang paling sukar pernah saya lakukan. Tidak pasti saya boleh lakukan lagi, tetapi kecantikan yang saya lihat dan kongsikan amat menakjubkan.

“Saya akan memuat naik Non-Fungible Token (NFT) khusus untuk Merdeka 118 esok (hari ini). Saya mahu orang lain memiliki pencapaian seperti ini,” ujarnya.

Angela berkata, dia menghormati undang-undang di setiap negara walaupun apa yang dilakukannya ialah menceroboh.

“Saya sentiasa pastikan tidak akan merosakkan apa-apa di mana ada pendaki puncak menara lakukan.

“Impian saya ialah untuk cipta kenangan dengan berkongsi pemandangan dari menara tertinggi dunia,” katanya.

Terdahulu, pada 29 Disember lalu polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan dari Rusia yang dipercayai memanjat menara terbabit. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan