24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bunuhlah demokrasi, nescaya UMNO kuburkan diri sendiri

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SUARA-SUARA agar dua jawatan tertinggi dalam UMNO tidak perlu dipertandingkan menjelang pemilihan agung parti semakin lantang kedengaran daripada beberapa bahagian parti itu.

Mereka menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang dan menghalalkan usaha bagi mempertahankan kedua-dua jawatan iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.

Mereka beralasan pucuk pimpinan perlu dipertahankan dan jangan sampai ada yang mencabar dengan alasan UMNO masih lemah selepas menerima kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bagi mengharungi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini.

Ada juga yang tidak mahu kedua-dua jawatan itu dicabar kerana mengenang ‘kebijaksanaan’ politik UMNO hari ini sehingga membolehkan parti itu kekal menjadi kerajaan walaupun kalah teruk dalam PRU15 lalu.

Baguslah macam tu, bunuhlah demokrasi dalam UMNO kerana aku percaya tindakan tersebut umpama menguburkan diri mereka sendiri.

Dengan hanya berbekal 28 kerusi daripada 222 keseluruhan dalam Parlimen, apa lagi parti ini mahu bongkakkan?

Tidak sedarkah UMNO semakin ditolak rakyat lantaran terlalu mempertahankan kepimpinan yang lemah dan terpalit dengan isu integriti?

Agaknya, UMNO lebih seronok jika beberapa kerat wakil mereka menjadi menteri walaupun terpaksa melacurkan diri kepada Anwar Ibrahim dan DAP yang sebelum ini telah ditolak dengan keputusan ‘No Anwar, No DAP’.

Inilah UMNO yang dari dahulu tidak pernah mahu berubah dan terlalu asyik mengenang kejayaan silam walhal landskap politik semakin berubah dan pemikiran rakyat yang menjadi penentu nasib parti politik juga semakin dinamik.

Usahlah mahu mendabik dada dengan kemenangan di Melaka dan Johor sedangkan dalam PRU15 lalu, ramai pengundi putih tidak keluar mengundi yang menjadi salah satu penyumbang kekalahan memalukan UMNO.

Tak apa, UMNO masih hidup malah begitu yakin dapat bangkit kembali dengan bertaut pada Pakatan Harapan (PH), Anwar dan DAP — musuh-musuh politik UMNO zaman berzaman.

Bak kata mereka, inilah real politic dan kita harus mengharunginya demi survival parti. Lucu, tiba-tiba muncul istilah tersebut hanya selepas UMNO mengalami kekalahan teruk!

Advertisements

Tapi tanpa sedar sebenarnya UMNO semakin hilang sokongan, kekal sebagai parti syok sendiri dan menjadi jaguh kampung (dalam kalangan parti sendiri).

Benarlah kata Shahril Hamdan dan Razali Ibrahim, dua pemimpin muda yang lebih nampak ‘masa depan’ UMNO bahawa parti itu sudah menjadi pilihan kedua.

Hey… Sedarkah UMNO mereka kini sudah ada pesaing yang menjadi pilihan orang Melayu untuk bergantung harapan.

Benar, dahulu orang Melayu hanya ada UMNO, parti keramat yang lahir di kaki istana dan pejuang kebangsaan atau Pas, parti bertunjang agama sebagai pilihan mereka.

Tetapi hari ini, UMNO sudah ada persaingan dan para pesaing mereka semakin melonjak dengan strategi politik baharu.

Kini orang Melayu sudah ada parti-parti lain untuk dianuti selain UMNO yang dilihat (atau dimomokkan) sebagai parti yang kotor dan menjijikkan.

Mereka kini semakin banyak pilihan untuk memilih selain UMNO sebab kini ada Bersatu, Pejuang, Amanah, Pas atau juga DAP yang kini semakin ‘dimelayukan’.

Eh, sedarlah kalau dalam kalangan 3.5 juta ahli UMNO sendiri tidak mengundi BN dalam PRU15 lalu, apakah mereka harapkan?

Apakah orang UMNO masih berharap kepada strategi politik lapuk yang dilihat gagal mengembalikan UMNO di landasannya, sebaliknya semakin hanyut di lautan tak bertepi?

Apakah UMNO ketandusan pemimpin yang lebih berwibawa untuk mengemudi parti sehingga bergantung harap kepada pemimpin yang ‘lain di mulut, lain di hati’ ketika berbicara?

Baguslah macam tu… lubang kubur sudah digali, elok juga kalau UMNO terus terjun ke dalam sahaja dan menimbus diri mereka sendiri.

Percayalah, andai UMNO sampai mati maka kematiannya bukan disebabkan kerana dibunuh musuh sebaliknya ia mati kerana kereputan yang berlaku di dalam teras parti itu sendiri.


Aku percaya jika ada seorang pemimpin berpengaruh mewujudkan sebuah parti Melayu lain yang betul-betul bersih daripada segala sampah korupsi, penyelewengan, bodek-membodek, kipas-mengipas aku percaya parti itu akan menjadi pilihan orang Melayu. – MTB: 2 Mac 2016 [Kahak: 98]

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan