26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 23, 2023

Agrico Qatar setuju labur dalam sektor pertanian di Malaysia

Mesti Baca

AGRICULTURAL Development Company (Agrico Qatar) menyatakan kesediaan untuk melabur dan menjalinkan kerjasama dalam sektor pertanian di negara ini.

Hasrat itu disampaikan oleh Pengerusi dan Pengasasnya, Ahmad Hussen Al-Khalaf ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu di Putrajaya hari ini.

MAFS dalam satu kenyataan berkata, Agrico Qatar telah menyatakan hasratnya untuk melabur bagi pembangunan buah-buahan berkualiti premium dan fasiliti pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia ketika kunjungan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar pada Mac tahun lalu.

“Sehubungan itu, pertemuan antara Mohamad dan Ahmad Hussen kali ini adalah merupakan susulan terhadap cadangan kerjasama antara Agrico Qatar dalam sektor pertanian di Malaysia tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Agrico Qatar merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran dalam pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan organik serta akuakultur dan pengurusan sisa organik.

Baca juga:   Teknologi IoT beri manfaat besar kepada pesawah

Kenyataan itu berkata, Agrico Qatar melalui anak syarikatnya Agrico Malaysia Sdn. Bhd. bersedia untuk melabur dan menjalinkan kerjasama dengan jabatan dan agensi di bawah MAFS terutamanya melalui projek akuakultur, pertanian bersepadu, bekalan baja dan makanan ternakan.

“MAFS turut bersedia untuk memudah cara kerjasama antara jabatan atau agensi di bawah MAFS dengan Agrico Qatar bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan,” katanya.

Pertemuan ini turut dihadiri oleh wakil Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan wakil Kedutaan Qatar di Malaysia serta pegawai-pegawai kanan MAFS.

Baca juga:   Amaran ribut petir, hujan berterusan hingga Selasa

Untuk rekod, ketika lawatan Ismail Sabri ke Qatar Mac lalu, beliau telah melawat ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik Agrico di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha.

Dalam lawatan tersebut, Ismail Sabri telah menerima surat komitmen pelaburan berjumlah USD360 juta (RM1.528 bilion) daripada Ahmed Hussen sendiri. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Kejar pahala, jangan siakan dengan pembaziran – Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati umat Islam agar mengejar pahala bulan Ramadan serta tidak mensia-siakan bulan...

Lagi Artikel Berkaitan