27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Zahid pertahan Anwar sebagai Menteri Kewangan terbaik dunia

Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger dalam kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1990-an dahulu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia dan dunia.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pengiktirafan tersebut pernah diberikan oleh Asia Money Magazine dan Euro Money Magazine ketika Anwar menyandang jawatan itu pada tahun 1990-an dahulu.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, rekod yang dimiliki Anwar tidak pernah dicapai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin malah sangat bermasalah menguruskan negara sehingga dikenali sebagai ‘kerajaan gagal.’

“Kritikan Mahiaddin (Muhyiddin) bahawa tindakan Perdana Menteri yang memegang jawatan Menteri Kewangan tidak melihat keperluan semasa yang memerlukan Anwar yang dikenali berprestasi tinggi pernah menguruskan kewangan dan ekonomi Malaysia pernah surplus budget, iaitu pendapatan melebihi perbelanjaan negara.

“Anwar juga pernah mendapat The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.

Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof menandatangani watikah pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri di Istana Negara.

“Sudah pasti pelabur asing lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan,” katanya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang menganggap jemaah Menteri lantikan Anwar sebagai paling mengecewakan dalam sejarah negara.

Malahan bekas Perdana Menteri itu turut membidas Anwar yang melantik diri sendiri sebagai Menteri Kewangan.

“(Ini) satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewengan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini.

“Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda antirasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata,” katanya mengulas barisan Kabinet lantikan Anwar.

Sebaliknya Zahid berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berdepan dengan pelbagai skandal dalam pengurusan negara ketika menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan.

Oleh sebab itulah, katanya, beliau sangat ketakutan dan terdesak untuk menjadi Perdana Menteri sehingga sanggup melanggar adat dan adab mengkritik Istana Negara sejak awal proses menamakan Perdana Menteri.

Anwar, 75, pernah memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan selama lapan tahun iaitu dari 1991 hingga 1998 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997, Anwar menyokong prinsip pasaran bebas dan mengetengahkan isu-isu berkaitan hubungan perniagaan dan politik di Malaysia.

Beliau yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa pada 1998 selama dua tahun dan amat menyokong inisiatif pembatalan hutang bagi negara miskin, terutamanya negara-negara di benua Afrika.

Sementara itu, beberapa penasihat akan membantu dalam urusan Kementerian Kewangan yang diketuai Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

“Urusan Kementerian Kewangan akan dibantu oleh beberapa penasihat yang tidak akan mengambil upah yang diketuai oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Dr Mohd Hassan Marican,” kata Anwar semasa pengumuman barisan Kabinet pada Jumaat.

-EDISI9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan