33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Wakil BN anggotai Kabinet selesa, boleh bekerjasama dengan PM

Kabinet juga perlu memaparkan dan mewakili aspirasi umum rakyat Malaysia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI-AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan dilantik oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Kabinetnya perlulah selesa dan boleh bekerjasama dengan Perdana Menteri.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berkata, selain daripada efisien, ahli-ahli Kabinet yang dilantik juga perlu memaparkan dan mewakili aspirasi umum rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berharap sesiapa ahli Parlimen BN yang diberi peluang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan itu perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Elemen paling penting adalah untuk Anwar melantik ahli Kabinet yang beliau berasa selesa untuk bekerjasama dengan mereka.

“Selain daripada efisien, Kabinet juga perlu memaparkan dan mewakili aspirasi umum rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, pelantikan ahli-ahli Parlimen BN sebagai Jemaah Menteri dapat membantu memperkukuhkan kedudukan parti itu secara keseluruhannya.

Semalam, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi layak dilantik jawatan Timbalan Perdana Menteri bersandarkan pengalaman luas dimilikinya di peringkat Pusat.

Menurutnya, Zahid lebih sesuai mengisi salah satu daripada dua jawatan tersebut berbanding Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan namun perkara itu tertakluk kepada kuasa prerogatif Anwar. 

Spekulasi pengumuman barisan kabinet Kerajaan Perpaduan bertiup kencang dan dijangka selewat-lewatnya hari ini.

Pertemuan Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Selasa lalu mencetuskan spekulasi bahawa ia ada kaitan dengan pembentukan kabinet baharu.

Istana Negara berkongsi gambar yang menunjukkan Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong buat kali pertama sejak dilantik sebagai perdana menteri ke-10 – tetapi tiada butiran lain dikongsikan.

-EDISI9

Terkini

Rancang pembangunan saksama di semua negeri – Sultan Ibrahim

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan yang saksama diberikan kepada semua bandar di...

Lagi Artikel Berkaitan