28.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, February 1, 2023

Tapak perkhemahan Father’s Organic Farm bukan lokasi kritikal – JMG

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia menafikan pihaknya menyenaraikan tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor sebagai lokasi kritikal.

Ketua Pengarahnya, Hisamudin Termidi berkata, skop pemantauan cerun kritikal JMG juga tertumpu di kawasan penempatan dan cerun-cerun semula jadi yang tidak bertindih fungsi dengan pihak autoriti lain.

“Merujuk cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor adalah tidak tersenarai dalam cerun-cerun kritikal di bawah pemantauan JMG,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau membuat kenyataan balas susulan laporan media melaporkan bahawa cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor antara lokasi kritikal yang dikenal pasti JMG Malaysia.

Ujar HIsamudin lagi, berkaitan aspek penempatan baharu atau cadangan pembangunan baharu di lereng bukit atau berhampiran cerun, ia adalah sebahagian komponen dalam kebenaran merancang yang memerlukan penilaian risiko dibuat.

Baca juga:   2 laporan barang hilang di kawasan tragedi Batang Kali

“Bagi risiko yang melibatkan bencana geologi tanah runtuh, pihak pemaju perlu melantik ahli geologi profesional yang berdaftar di bawah Lembaga Ahli Geologi Malaysia membuat penilaian,” katanya.

Untuk rekod, pada 16 Disember lalu, kira-kira pukul 2.42 pagi, seramai 92 mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan dengan 31 disahkan maut manakala 61 orang terselamat.

Baca juga:   Tragedi Batang Kali: SAR guna jentera berhati-hati, elak terkena mayat

Operasi SAR sepanjang 10 hari dalam tragedi tersebut menyaksikan lebih 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi yang turut dibantu unit anjing pengesan (K9) selain penggunaan jentera berat.

Mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan itu iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui 24 Disember lalu.

Difahamkan, mayat itu ditemui pasukan SAR di Sektor A (Hill View) yang menjadi tumpuan utama pencarian.

Berdasarkan maklumat, 19 daripada 30 mayat mangsa sebelum ini ditemukan di Sektor A (Hill View), manakala 10 di Sektor C (Riverside) dan seorang di Sekstor B (Farm View).

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Perodua maksimumkan pengeluaran dan pendaftaran pada 2023

PERODUA berusaha untuk memaksimumkan jumlah pengeluarannya kepada 330,000 unit dan jualan kepada 314,000 unit tahun ini, disokong oleh tempahan...

Lagi Artikel Berkaitan