30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

2 laporan barang hilang di kawasan tragedi Batang Kali

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS mengesahkan menerima dua laporan polis mengenai kehilangan barang milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor pada 16 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihaknya terkesan dengan satu hantaran berhubung isu tular di Facebook yang dipercayai dikeluarkan oleh salah seorang ahli keluarga mangsa.

“Hantaran ahli keluarga keluarga mangsa itu turut menyatakan terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan kad Touch ‘n Go milik mangsa tragedi berkenaan.

“Kami menerima dua laporan polis berhubung isu tular berkenaan jam 2.47 petang tadi.

“Susulan laporan itu, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Suffian lagi, orang ramai diminta bertenang dan tidak gusar berhubung isu tular terbabit dan ahli keluarga mangsa dinasihatkan supaya menghubungi pihak polis jika mempunyai isu berkaitan kehilangan barang milik mangsa.

“Kami menegaskan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat serta menularkan berita palsu dan perlu merujuk kepada pihak polis atau pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat sahih,” katanya.

Menurutnya, sebarang maklumat atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641223.

Dalam tragedi yang berlaku pada pukul 2.42 pagi, 16 Disember lalu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan