SEORANG wanita dan seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia akibat tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik, Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, awal pagi tadi.
Polis mengesahkan kemalangan jiwa itu.
Terdahulu, media melaporkan, tanah runtuh berlaku di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Genting Highlands, awal pagi ini.
Maklumat awal pihak polis, terdapat 100 orang yang berada di tapak perkhemahan itu, yang berkemungkinan menjadi mangsa runtuhan.
Dalam pada itu, usaha mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sedang giat dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kepada Bernama TV, pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Hulu Selangor turut bersama membantu pasukan keselamatan dalam operasi mencari dan menyelamat itu.
Setakat ini, 37 individu berjaya diselamatkan selepas dipercayai terperangkap dalam insiden tanah runtuh itu.
Sementara itu, Pengarah Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel (PA) Sharudin Md Zain, berkata pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian itu pada jam 2.58 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) bergegas ke lokasi tapak perkhemahan di ladang sayuran itu.
“Maklumat awal diterima memaklumkan terdapat lebih 50 mangsa yang terperangkap dan ditimbus tanah runtuh itu.
“APM turut membantu membawa keluar 17 mangsa terawal diselamatkan ke Balai Polis Gohtong Jaya, Batang Kali, dengan menaiki kenderaan APM,” katanya.
Menurutnya, APM akan terus membantu anggota bomba dan penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Smart Team, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelbagai agensi lain di lokasi tragedi.
Dalam pada itu, laman Facebook Korporat JBPM yang memetik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor susulan insiden membabitkan 79 mangsa kira-kira jam 2.20 pagi tadi.
-EDISI9