PENYANYI tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dikatakan telah membeli sebuah kediaman mewah berharga lebih RM10 juta di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Perkara itu heboh diperkatakan selepas pelantun Jerat Percintaan itu memuat naik beberapa keping gambar berlatar belakang bangunan pencakar langit menerusi Instagramnya hari ini.
“Alhamdulillah, home sweet home,” tulis beliau pada keterangan gambar yang dikongsi tersebut tanpa memberi penjelasan lanjut.
Bagaimanapun anak tirinya, Asyraf Khalid mengesahkan perkara itu apabila mengucapkan tahniah kepada penyanyi tersebut.
“Tahniah Mak Iti (Siti Nurhaliza) kerana berjaya memiliki kediaman pertama di Dubai. Saya sangat gembira dan bangga melihat kejayaan Mak Iti,” katanya menerusi Instagram.
Menurut Asyraf, kediaman jenis kondominium yang dipercayai terletak di kawasan The Address Beach Resort itu dianggarkan bernilai lebih RM10 juta.
Katanya, dia bangga melihat segala usaha keras Siti Nirhaliza dalam industri seni dan perniagaan membuahkan kejayaan.
“Doakan satu hari nanti, saya boleh ikut jejak langkah Mak Iti. Saya doakan Allah akan murahkan rezeki lagi untuk ayah dan Mak Iti.
“Mak Iti memang layak untuk menerima semua ini atas segala usaha dan penat lelah yang dilakukan selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf turut berseloroh dengan berhaeap jika ke Dubai selepas ini tidak perlu lagi untuk menyewa bilik hotel.
Siti Nurhaliza kini berada di Dubai bersama suami dan anak-anaknya. – Edisi 9