30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Malaysia perlu bersedia berdepan kemasukan pengembara China

Malaysia perlu melihat semula dasar berkenaan ketibaan pengembara dari kawasan-kawasan berisiko.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA perlu bersedia secukupnya dalam berdepan kemasukan pengembara khususnya dari China yang dijangka masuk ke negara ini mulai Januari 2023.

Ini kerana kata, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong negara itu kini sedang berdepan dengan kes COVID-19 yang melonjak tinggi.

“Adakah kita bersedia menerima kehadiran mereka di saat kes COVID-19 di China melonjak tinggi pada ketika ini?

“Seawal 8 Januari depan, kita akan dapat melihat ramai pengembara dari China akan memasuki negara-negara serantau termasuk Malaysia.

“Justeru itu, dalam tempoh kurang 10 hari mulai sekarang, Malaysia perlulah bersedia secukupnya dalam berdepan kemasukan pengembara khususnya dari China,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sebagai cadangan kata beliau, Malaysia perlu melihat semula dasar berkenaan ketibaan pengembara dari kawasan-kawasan berisiko.

Katanya, terdapat negara Eropah yang segera merangka langkah-langkah bagi mengendalikan kemasukan pengembara dari China.

“Begitu juga dengan Amerika Syarikat yang mengenakan syarat kepada pengembara dari China sebelum dibenarkan memasuki negara itu, iaitu perlu menunjukkan ujian saringan dengan keputusan negatif COVID-19,” katanya.

Walaupun menyatakan kebimbangan tersebut, beliau berkata, kita amat mengalu-alukan kehadiran pengembara dari China kerana ianya akan membantu merancakkan sektor pelancongan.

“Namun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mesti mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mencegah lonjakan penularan COVID-19 lebih-lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, baik semasa mahupun selepas perayaan.

“Saya sangat berharap Menteri Kesihatan yang baru dilantik akan melihat isu ini dengan serius.

“Jika perlu, semaklah semula protokol kesihatan,”katanya.

Dalam masa sama, beliau doakan yang terbaik buat Malaysia dan terserahlah kepada pakar-pakar perubatan KKM untuk membuat keputusan mengikut data saintifik.

Ujar beliau, negara kita tidak boleh lagi mengharungi sekatan ketat seperti PKP sebelum ini. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan