KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan beberapa inisiatif di peringkat kementerian dan yang pertama dilaksnakan adalah inisiatif tuala wanita percuma.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif berkenaan adalah usaha dalam memerangi kemiskinan haid yang sebenarnya telah mendapat sambutan di peringkat global serta sudah ada polisi-polisi berkaitan inisiatif berkenaan.
“Program dinamakan ‘Period Poverty’. Saya sebagai Menteri Kesihatan wanita yang pertama..saya rasa elok diadakan inisiatif ini di KKM sendiri dan akan mulakan di tandas di Pejabat Menteri iaitu kita akan mengadakan pemberian tuala wanita percuma.
“Saya rasa ini inisiatif yang pertama..nampak kecil tapi impaknya besar. Kalau lihat di negara seperti Scotland sudah ada polisi khusus untuk inisiatif ini. Nanti kita akan pergi lebih mendalam lagi,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KKM yang pertamanya, di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, dengan memulakan inisiatif berkenaan di pejabatnya, ia diharap bakal mendapat sokongan di seluruh KKM.
“Selepas itu, kita akan melihat kemungkinan untuk bekerjasama dengan agensi lain yang menangani secara khusus kemiskinan haid,” katanya.
Beliau turut mengakui teruja untuk melaksanakan program berkenaan yang juga suatu inisiatif baru di negara ini, dan menurutnya inisiatif untuk golongan lelaki pula.
Dalam pada itu, KKM turut melancarkan inisiatif penggunaan teknologi kamera badan dalam tugas-tugas penguatkuasaan mereka di lapangan.
Dr. Zaliha berkata, penggunaan kamera badan itu akan dapat memastikan ketelusan dalam pelaksanaan penguatkuasaan, di samping menjaga kebajikan dan keselamatan pegawai penguatkuasa. – Edisi 9