25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Hubungi segera TNB jika premis dinaiki air

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ORANG ramai dinasihatkan terus menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekiranya premis mereka dinaiki air banjir bagi membolehkan TNB menghentikan bekalan elektrik ke premis berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din berkata, penutupan bekalan elektrik itu bersifat sementara bagi menjamin keselamatan dan akan disambungkan semula apabila banjir surut.

“TNB peka dan bersimpati dengan keperitan rakyat yang diuji dengan bencana. TNB juga sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan elektrik dalam suasana tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharin berkata, TNB akan memulihkan pencawang dan aset lain yang terkesan akibat banjir serta membuat pengujian bagi memastikan ia selamat untuk menyalurkan bekalan.

“Selepas itu, TNB akan segera memberi semula bekalan elektrik apabila keadaan mengizinkan dan akan memastikan bekalan ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, katanya, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, TNB menyarankan orang ramai di kawasan yang terlibat dengan banjir mengamalkan nasihat dan panduan keselamatan elektrik berikut:

Ketika banjir:

– Apabila premis dinaiki air hindari penggunaan peralatan elektrik, letakkan peralatan elektrik di tempat tinggi, pastikan suis utama ditutup bagi mengelakkan renjatan elektrik

– Hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mohon memutuskan bekalan elektrik jika paras air meningkat

– Jauhi peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ia bersalut penebat

– Hindari tiang besi atau mana-mana pepasangan TNB yang ditenggelami air bagi mengelak risiko renjatan elektrik

– Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik

– Pastikan bank kuasa mudah alih dicaj lebih awal untuk mengecas telefon bimbit bagi memudahkan urusan komunikasi

– Sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum keluar dari rumah untuk mengelakkan bekalan sua balik ke sistem pendawaian rumah

– Jika berlaku banjir, elakkan dari menghampiri atau menyentuh mana-mana tiang yang menyokong pepasangan elektrik TNB atau pepasangan elektrik pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selepas banjir:

– Matikan suis utama sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian

– Suis dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir perlu diperiksa dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga

– Jauhi dahan pokok di talian elektrik kerana bekalan elektrik mungkin masih disalurkan

– Maklumkan kepada TNB untuk tindakan segera. Jangan gunakan galah atau tangga yang diperbuat daripada besi/aluminium/buluh/kayu berhampiran talian elektrik

– Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak supaya tidak menghampiri tiang dan kabel elektrik yang rosak

– Hubungi TNB sekiranya ternampak sebarang kejanggalan pada pepasangan syarikat utiliti itu yang terkesan akibat banjir – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan