34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Dipecat daripada UMNO, Annuar rekrut ahli Muafakat Nasional

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SELEPAS dipecat daripada UMNO, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa kini merekrut ahli-ahli bagi menganggotai Muafakat Nasional (MN), sebuah pertubuhan yang diasaskan beliau.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Kerja MN, Datuk Mohd Irwan Rizal, pihaknya kini membuka keahlian kepada semua warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas tanpa mengira agama dan kaum.

Bagaimanapun, menurut beliau, mereka yang berusia 18 tahun ke bawah boleh menganggotai MN namun perlu mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga masing-masing.

“Syarat itu selaras dengan penubuhan MN kerana ia sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan parti politik.

“Pendaftaran tersebut boleh dilakukan secara atas talian (online) melalui laman sesawang rasmi MN iaitu www.muafakatnasional.org.my,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi Annuar menerusi media sosialnya.

Mohd Irwan berkata, pendaftaran juga dibuka secara atas talian bagi memudahkan pihak yang berminat untuk mendaftar dan maklumat lanjut selain menerusi Facebook, Twitter, Instagram atau boleh hubungi talian 011-72751075.

Annuar yang juga bekas menteri Kabinet dan menjadi ahli UMNO selama lebih 40 tahun dipecat daripada parti itu kerana mengkritik secara terbuka pucuk pimpinan parti.

Beliau antara pemimpin UMNO yang dilihat “mesra Bersatu” telah menubuhkan MN untuk menggerakkan agenda perpaduan dan pembinaan negara.

Bagaimanapun, beliau sebelum ini telah menubuhkan NGO itu untuk meneruskan usaha memupuk nilai-nilai murni ke arah penyatuan yang sejati.

Selain itu katanya, MN berpegang teguh kepada lima matlamat yang telah digariskan antaranya menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjamin pembentukan negara.

Annuar merupakan Setiausaha Agung UMNO ketika parti itu membentuk kerjasama dengan Pas melalui satu pakatan dinamakan “Muafakat Nasional” pada 2019 ketika kedua-dua parti itu menjadi pembangkang.

Beliau juga antara pemimpin yang lantang mempertahankan kerjasama UMNO-Pas tersebut selepas Pas menganggotai Perikatan Nasional bersama Bersatu, sehingga dia dipecat daripada jawatan tersebut.

Ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuat keputusan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Annuar juga antara pemimpin yang lantang menentangnya dan menjadi punca beliau dipecat sebagai ahli parti.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan