29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Tiga beranak maut, tiga cedera dalam nahas di Manjung

Orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-4433441.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIGA beranak maut manakala tiga lagi termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan berhampiran Jambatan Bainun, Manjung, Lumut, Perak, malam tadi.

Dalam kejadian tersebut, mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Adam Che Embi, 33; isterinya, Nurhamizza Hamdan, 32; dan anak bongsu mereka, Mohamad Aisy Hakim Mohamad Adam, dua tahun.

Dua lagi anak pasangan itu yang turut berada dalam kereta dinaiki mereka berusia enam dan empat tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan dahi kini dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM).

Difahamkan, Mohamad Adam adalah Juruteknik di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah TNB Janamanjung Sdn. Bhd., manakala isterinya adalah suri rumah dan mereka menetap di Residensi Pr1ma@Segari, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku di Jalan Kampung Koh-Pantai Remis kira-kira pukul 11.07 malam.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dinaiki lima sekeluarga tersebut dari arah Manjung menghala ke Segari sebelum bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Chevrolet Captiva dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, Proton Saga terbabas ke kiri jalan manakala Chevrolet Captiva pula terbabas ke kanan jalan dan terbakar akibat kebocoran minyak petrol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu Chevrolet Captiva seorang perempuan berusia 21 tahun patah kaki dan turut dirawat di HSM.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-4433441.

Mohd. Yusri turut menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika berada di jalan raya terutama ketika musim cuti persekolahan ini.

-EDISI9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan