PENGASAS Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menghormati perubahan pendirian beberapa personaliti yang menarik diri daripada badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.
Katanya, beliau mengikuti pelbagai laporan dan posting berkaitan penarikan diri tersebut.
“Saya menerima dengan baik, malah amat berterima kasih. Datuk Jamal Abdillah sahabat baik saya. Kami berkomunikasi hampir setiap hari.
“Ummi Nazeera umpama anak saya sendiri. Keluarga kami saperti adik beradik. Kerjaya mereka semua lebih penting,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Annuar berkata, sukacita diulangi, MN adalah sebuah NGO kecil dan baru digerakkan beberapa hari.
“Namun Alhamdulillah ia telah menjadi tarikan umum yang luar biasa dan luar dugaan.
“Berikutan dari itu pelbagai reaksi diterima dari pelbagai pihak. Banyak yang positif dan tidak kurang juga yang negatif, mengecam dan sebagainya.
“Kesannya beberapa personaliti yang awalannya begitu kuat bersukarela mahu turut membantu memaklumkan pada saya pelbagai masalah yg mereka hadapi, terutama mereka yang merupakan personaliti awam seperti penghibur.
“Saya berpendirian sebagai NGO bebas, pendokongnya perlu komited, istiqamah dan yang penting redha dan ikhlas bersukarela berkhidmat.
“Justeru saya menghormati perubahan pendirian mereka yang terbabit. Saya faham mereka jujur menyokong usaha MN, cuma pada masa ini ada perkara lain yang mereka perlu pertimbangkan,” katanya.
Beliau juga meminta perkara ini tidak perlu di momokkan.
“MN sememangnya bakal melalui banyak cabaran. Tohmahan dan fitnah sudah asam garam kehidupan. Yang penting kita jujur dan ikhlas. Mungkin saya juga ada kesilapannya dalam mengumumkan nama-nama Ahli Dewan Tertinggi (ADT) terlalu awal. Kita manusia biasa tentu ada kekurangannya,”katanya.
Beliau berkata, masih ramai kumpulan industri kreatif dan seniman yg telah menyertai MN.
“Kita tetap menyediakan sekurang kurangnya dua wakil dari industri kreatif dalam ADT. Biarlah penglibatan mereka diketahui bila tiba masa yang sesuai.
“Mesyuarat pertama hanya pada 7 Januari nanti dan banyak lagi perkara yang perlu kita perhalusi. Insya-Allah.
“Mereka semua amat ikhlas dan saya menghargainya. Saya percaya mereka tetap merupakan personaliti ikon yang besar peranan dalam masyarakat, walaupun tidak berada dalam ADT MN,” katanya. – Edisi 9