JABATAN Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah berjaya menghantar bakul makanan kepada enam buah kampung Orang Asli Gua Musang bermula dari 25 Disember sehingga ke hari ini.
Penghantaran bakul makanan dengan Kerjasama Unit Udara BOMBA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu dilaksanakan melalui laluan udara menggunakan tiga pesawat daripada Unit Udara JBPM.
Seramai 46 orang anggota dari pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi ini.
Unit Perhubungan Awam JAKOA menerusi kenyataan berkata, sejumlah 417 bakul makanan telah berjaya dihantar di dua lokasi iaitu Pos Gob dan Pos Simpor pada 25 dan 26 Disember 2022.
“Seterusnya pada 27 Disember, sejumlah 358 unit bakul makanan telah berjaya dihantar ke Pos Belatim, Kampung Orang Asli (KOA) Sau, KOA Ladoi dan sebahagian di Pos Balar.
“Pada hari keempat, sebanyak 347 bakul makanan lagi telah berjaya dihantar ke KOA Bihai Lama, KOA Sau, KOA Ladoi dan Pos Balar,”katanya.
Kata kenyataan itu, JAKOA Kelantan dan Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan NADMA akan melaksanakan penghantaran bakul makanan fasa dua dalam tempoh lebih kurang tiga minggu lagi.
Katanya, bakul makanan akan dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Modus penghantaran bakul makanan bergantung kepada keadaan cuaca dan keadaan semasa penghantaran yang dijangka boleh dilaksanakan menggunakan kenderaan darat atau laluan udara,” katanya.
JAKOA berkata, sejumlah 1,122 bakul makanan mengikut per ketua isi rumah (KIR) telah dihantar bersamaan 20.7 tan makanan.
“Ia melibatkan Pos Gob dengan (187 KIR), Pos Simpor (230 KIR), KOA Ladoi (135 KIR), Pos Balar (233 KIR), Pos Belatim (185 KIR) dan Pos Bihai (152 KI).
“Gerak kerja hari akhir penghantaran ialah di KOA Tendrik bagi 152 KIR bersamaan 2.8 tan bakul makanan,” katanya. – Edisi 9