UMNO bersejutu untuk menyertai Kerajaan Perpaduan seperti titah cadangan Yang di-Pertuan Agong namun bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).
Ketetapan sebulat suara itu diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mengadakan mesyuarat khas yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur malam ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan menyokong dan menjunjung titah Seri Paduka Baginda bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan makmur.
“MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.
Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak menyatakan sama ada Kerajaan Perpaduan itu akan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.
Ahmad berkata, sebelum membuat keputusan tersebut, MKT telah mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan PH dan PN.
Isnin lalu, rombongan PH diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir di Hotel Seri Pacific untuk mempelawa BN menyertai kerajaan yang akan dibentuk oleh PH.
Manakala hari ini ini, PN diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menjemput barisan kepimpinan BN hadir di Hotel St Regis untuk berbincang mengenai kerjasama bagi pembentukan kerajaan.
Sementara itu, MKT turut memutuskan untuk memperkukuhkan sokongan terhadap Zahid agar terus menerajui BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden parti.
Keputusan itu, sekali gus menutup mulut beberapa pemimpin UMNO dan parti komponen BN yang mendesak Zahid melepaskan jawatan dalam parti ekoran prestasi terburuk BN dalam PRU-15 lalu.
Dalam PRU-15 Sabtu lalu, tiada mana-mana parti mendapat majoriti mudah menyebabkan Parlimen dalam keadaan tergantung dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.
Ekoran itu, dua parti gabungan yang mendapat jumlah kerusi terbanyak iaitu PH dan PN masing-masing berusaha mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen BN bagi mencukupkan jumlah 112 kerusi yang diperlukan.
Semalam, Majlis Dewan Presiden BN memutuskan untuk tidak menyokong mana-mana parti gabungan dan mahu kekal sebagai parti pembangkang. – Edisi 9