26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Sudah-sudahlah berpolitik, mari bina semula negara

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah selesai diadakan walaupun pada awalnya banyak pihak yang membantah kerana bimbang berlaku ‘pilihan raya banjir’.

Namun, Alhamdulillah syukur kerana sepanjang PRU-15 berlangsung tidak ada kejadian banjir besar berlaku, cuma beberapa kawasan di beberapa negeri mengalami banjir kilat.

Ikutkan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya beberapa saluran di Parlimen Baram, Sarawak terpaksa ditunda kerana cuaca buruk pada hari pengundian. Lain-lain kawasan tiada banjir.

Ini termasuk di Pantai Timur walaupun Monsun Timur Laut sudah melanda sejak pertengah November, sepertimana diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Sehingga hari ini, cuaca baik.

Menyesallah beberapa negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana bimbang berlaku banjir.

Dalam PRU-15 menyaksikan tiada parti atau parti gabungan yang berjaya membentuk kerajaan kerana semuanya gagal memperoleh majoriti mudah iaitu 112 kerusi.

Paling tinggi gabungan Pakatan Harapan dengan 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 23 kerusi.

Ekoran itu, Parlimen tergantung dan Yang di-Pertuan Agong terpaksa menggunakan kuasa yang dimiliki untuk memilih salah seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat lain untuk menjadi Perdana Menteri.

Selepas lima hari drama tarik menarik, tolak menolak akhirnya Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri, pemimpin yang sudah 24 tahun memasang impian untuk bergelar PM, akhirnya tercapai. Rezeki dia!

Pun begitu, Anwar tak boleh bangga dapat jadi PM10 sebab tanpa sokongan BN, GPS dan beberapa parti lain beliau tak boleh bentuk kerajaan dan jadi PM.

Mujur ada ‘anak murid’ yang mencatur gerakan dari dalam, kalau tidak susah juga nak dapat sokongan BN ketika UMNO sudah pasang tekad ‘No Anwar, No DAP.’

Khabarnya, UMNO buat pusingan U sokong Anwar kerana akur titah Agong yang mahu BN bentuk Kerajaan Perpaduan dengan PH. Baiklah, kita terima alasan itu walaupun meragukan juga.

Muhyiddin dikatakan menolak titah cadangan agar PN menubuhkan kerajaan bersama PH manakala Hadi pula langsung tiada menyatakan untuk menduduki kerusi no. 1 negara itu.

Entah kenapa pemimpin Pas begitu takut untuk menjadi PM sedangkan parti itu merekodkan jumlah kerusi terbanyak secara individu iaitu 44 kerusi.

Rombongan PH mengunjungi pemimpin BN di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Kalau nak ikutkan Pas boleh tuntut jawatan PM bagi mengelak Anwar, bekas banduan menjadi PM tapi malangnya Pas tidak berani. Mereka hanya berani bergayut dengan Muhyiddin saja.

Anwar dah angkat sumpah sebagai PM10 dan dah mulakan tugasnya Jumaat lepas. Cuma sekarang ini masing-masing menunggu barisan menteri Kabinet Anwar.

Orang nak tau apa jawatan Lim Guan Eng, Mat Sabu, Rafizi serta jangan lupa Zahid dan Mat Hasan.

Ramai yang doa supaya Guan Eng tidak lagi pegang Kementerian Kewangan sebab takut nanti diberi bantuan RM30 kepada rakyat.

Atau takut dia londeh keadaan ekonomi negara sampai pelabur yang ada cabut lari, dan yang di luar tak berani nak melabur. Tak kan mereka nak melabur dalam negara muflis!

Atau Mat Sabah diberi tugas jaga Pertahanan, nanti ‘elephant fight with elephant’ lagi jahanam negara. Kelemahan pertahanan negara dijaja lagi di luar negara.

Rafizi pula dalam ceramah kempen atau dalam video media sosial hebat bercakap soal ekonomi. Macam mana nak turunkan harga minyak, hapuskan tol dan macam-macam teori lagi.

Cubalah letak di kementerian hal ehwal ekonomi, agak-agak segala teorinya itu boleh dipakai dan dilaksanakan tidak. Takut nanti teori hanya tinggal teori…

Zahid? Sebelum PRU heboh gelarkannya kluster mahkamah tapi sekarang dah bersama dalam Kerajaan Perpaduan, tak ada lagilah kluster mahkamah.

Tapi kena ingat UMNO kalah teruk salah satu sebabnya adalah liabiliti dibawa Zahid. Itu orang UMNO kena akui… Kalau letak juga dia sebagai menteri apatah lagi Timbalan Perdana Menteri, takut nanti tiba-tiba Anwar hilang sokongan Ahli Parlimen lain.

Bukan apa, dahlah PM pun banyak kes-kes lampau ditambah pula TPM yang menimbun dengan kes-kes mahkamah, haishhh… tak tau apa jadi Malaysia dalam tempoh 5 tahun ni.

Itu bayangan-bayangan songsang dalam kepala akulah, dan juga kebanyakan kepala rakyat di luar sana.

Namun bak kata Ustaz Azhar Idrus, PM sudah dilantik oleh Agong dan kita kena akur dengan sistem pelantikannya. Soal moral beliau itu tak usah nak ungkit lagi.

Semalam, semasa bersolat di Masjid Putra, seorang jemaah yang tidak dikenali berbual dengan seorang jemaah lain.

Aku bersetuju dengan apa yang dia katakan. “Kita doakan yang baik-baik sahaja kepada Anwar.”

Benar, kita tunggu dan lihat sahajalah kemampuan Anwar menguruskan ekonomi dan kesusahan rakyat sebab selama ini beliau begitu lebat dan hebat bercakap soal ini.

Apa yang penting kita semua berhentilah berpolitik sehinggalah PRU akan datang. Ini masa untuk bina semula negara.

Kita contohilah Indonesia. Mereka hanya berpolitik apabila tiba musim pilihan raya. Jauh sebelum itu mereka bahagia di bawah kerajaan ‘perpaduan’ yang membaur antara parti.

Mereka jauh ke hadapan dan kita ketinggalan kerana terlalu sibuk berpolitik siang dan malam, pagi dan petang. Patuhlah titah Agong supaya semua parti politik berhenti bercakaran, fokus bina negara dan bantu rakyat.

Boleh ke?

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan