29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Semua calon bertanding ada kekuatan, kelebihan – Mohamad

Arah jentera BN agar tidak leka dan teruskan gerak kerja sebaik mungkin dengan menyantuni pengundi-pengundi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan semua calon yang bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO telah mengarahkan jentera BN agar tidak leka dan teruskan gerak kerja sebaik mungkin dengan menyantuni pengundi-pengundi di kawasan tersebut.

Beliau berkata, selain menjalankan gerak kerja yang tersusun dan teratur, beliau juga akan memastikan tidak mengusik sesiapa sepanjang kempen PRU-15 ini.

“Kita tidak mahu mengusik sesiapa, yang pentingnya ialah tujuan kita mengadakan pilihan raya ini adalah untuk memilih parti yang diberi mandat nanti oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan.

“Pastinya kerajaan yang bakal ditubuhkan ini mestilah satu kerajaan yang mantap dan stabil kerana negara kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil seperti yang kita pernah dapati dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas seleasi proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, hari ini.

MOHAMAD HASAN… Calon BN Parlimen Rembau

Dalam PRU-15, Mohamad yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan akan ditentang oleh empat calon lain.

Mereka ialah bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Ramli Awaluddin (GTA/Pejuang), Mohd Nazree Mohd Yunus (Perikatan Nasional – PN) dan S. Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Mohamad berkata, negara perlu membentuk sebuah kerajaan yang stabil kerana ketidakstabilan tidak memberikan sebarang kebaikan bahkan negara akan terencat dari segi pembangunan dan ekonomi.

Advertisements

Sehubungan itu, beliau berkata, dalam PRU-15 ini para pengundi dapat memilih parti yang mempunyai rekod yang baik.

“Rakyat jangan ikutkan perasaan, jangan ikut emosi, jangan ikut orang dan yang penting pilihlah parti yang mempunyai rekod yang baik, rekod yang telah lama mentadbir dulu yang mana negara dapat diurus dan ditadbir dengan amat baik sekali.

“Jadi saya berharap supaya rakyat dapat menilai semula dan siapa yang sepatutnya kita berikan mandat dalam mentadbir negara pada 19 November nanti.

“Sudah tentulah bukan sahaja di Rembau tetapi di seluruh negara untuk memberikan kepercayaan kepada BN,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, rakyat tidak harus bimbang mengenai siapa yang hendak menguruskan negara.

“Kami (BN) adalah pasukan yang mempunyai kewibawaan dan bakat serta pengalaman untuk menguruskan Malaysia menjadi sebuah negara disegani kawan dan lawan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Parlimen Rembau merupakan kubu kuat BN yang mana Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mempertahankan kerusi tersebut sejak tiga penggal lalu, termasuk dalam PRU-14 menyaksikan beliau memenanginya dengan majoriti 4,364 undi.

Untuk rekod, seramai 133,461 pemilih berdaftar akan mengundi di Parlimen Rembau.

Parlimen Rembau membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota, Chembong, Rantau dan Paroi.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan