29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PM tidak endah cercaan, yakin sudah lakukan terbaik

Apa yang paling mustahak ialah pencapaian kerajaan yang diterajuinya sepanjang tempoh 14 bulan itu.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob sedikitpun tidak mengendah cercaan pembangkang sebagai pemimpin paling singkat menjawat jawatan nombor satu itu kerana yakin sudah melakukan yang terbaik dalam tempoh pentadbirannya.

Tegas Perdana Menteri, apa yang paling mustahak ialah pencapaian kerajaan yang diterajuinya sepanjang tempoh 14 bulan itu.

“Yang penting pengisian sewaktu tempoh tersebut. Tempoh masa pendek atau panjang itu tidak penting… Panjang tapi tidak melakukan apa-apa untuk kepentingan rakyat pun tidak ada makna,” katanya seperti dilapor FMT.

Selepas mengambil alih tampuk kerajaan pada Ogos tahun lalu dalam “keadaan terlalu sukar”, Ismail berkata, beliau memberikan seluruh fokus dan tenaga untuk menangani wabak COVID-19 yang masih mengganas, ekonomi amat teruk, dan politik tidak stabil.

“Tiga isu ini yang perlu saya fokus. Walaupun saya diberi jangka masa yang pendek tetapi perkara-perkara tersebut dapat diatasi. COVID-19 dapat diturunkan sehingga kita boleh buka semula sektor ekonomi,” katanya.

Manakala keadaan politik dapat distabilkan menerusi memorandum persefahaman kerjasama antara kerajaan pimpinan Ismail dengan Pakatan Harapan, yang pertama seumpamanya dalam sejarah negara.

MoU itu membawa kepada beberapa penambahbaikan sistem demokrasi negara termasuk undang-undang anti-lompat parti dan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

“Saya lihat perbalahan politik sia-sia sahaja kerana fokus yang patut diberikan oleh kerajaan adalah untuk menyelesaikan isu COVID-19, dan memulihkan ekonomi,” katanya.

Ismail berkata, pertumbuhan KDNK negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara semasa pentadbiran beliau.

Jumaat lalu Malaysia mengumumkan pertumbuhan KDNK 14.2 peratus untuk suku ketiga 2022.

Dalam pada itu, beliau melihat perbalahan politik sebagau sia-sia sahaja kerana fokus yang patut diberikan oleh kerajaan adalah untuk menyelesaikan isu COVID-19, dan memulihkan ekonomi.

Sehubungan denga itu, Ismail Sabri menyerah kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilai prestasinya namun berharap orang ramai akan mengambil kira pentadbirannya adalah kerajaan campuran melibatkan pesaing Barisan Nasional, seperti Bersatu – yang ditubuhkan pada 2016 untuk memusnahkan UMNO.

“Bukan senang nak urus kerajaan campuran, terutama yang terdiri daripada pesaing anda.

“Kena ingat UMNO tidak mahu situasi itu,” katanya.

Ismail berkata, UMNO mahu pilihan raya umum diadakan selepas kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang, tetapi ia tidak dapat diadakan kerana COVID-19 mengganas.

Katanya lagi, bukan Barisan Nasional yang menyebabkan kerajaan PH tumbang, sebaliknya ia berlaku selepas Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan PAS, kumpulan dalam PKR diketuai Azmin Ali, dan Ahli Parlimen UMNO, untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional pada Mac 2020.

Kerajaan Muhyiddin tumbang pada Ogos 2021 apabila UMNO menarik sokongan kepada beliau sebagai perdana menteri, lalu membawa kepada pembentukan kabinet baharu di bawah pimpinan Ismail.

Beliau berkata, pentadbirannya menggunakan peluang itu untuk kepentingan rakyat, di sebalik kerumitan dan cabaran mengurus pakatan parti-parti yang bersaing.

Antaranya membelanjakan RM77.7 bilion untuk subsidi pada 2022, seganda perbelanjaan tahun lepas kerana kerajaan faham ramai yang masih bergelut walaupun ekonomi dibuka semula.

“Pentadbiran saya juga ambil langkah tegas mengawal harga barang. Permit import (AP) bahan makanan kita mansuh.

“(Juga) diwujudkan stok simpanan bahan makanan perlu. Kita peruntukan RM1.1 bilion untuk membantu penternak ayam kurangkan harga burung dan telur.

“Eksport ayam dilarang bagi tempoh tertentu agar bekalan untuk rakyat mencukupi,” katanya.

Untuk membantu isu rumah B40 dan M40, Ismail berkata, kerajaan membelanjakan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia yang memberi manfaat kepada 9.6 juta rakyat, sejuta lebih ramai berbanding 2021.

“Kerajaan juga belanja RM2.3 bilion untuk bantuan mangsa bencana banjir besar, akhir tahun lepas,”katanya.

Susulan kecelaruan politik kepartian berpanjangan, Ismail mengambil langkah berani mencadangkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober bagi membolehkan PRUdiadakan, demi membentuk kerajaan stabil yang diinginkan rakyat.

Ismail adalah calon pilihan BN untuk jawatan tertinggi itu sekiranya gabungan itu menang pada 19 November ini.

Beliau yakin sudah melakukan yang terbaik dalam tempoh pentadbiran singkat.

Kerajaan yang diterajuinya membuktikan Ismail dan BN boleh mewujudkan kestabilan, kemakmuran, dan penambahbaikan untuk negara seperti yang dijanjikan.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan