DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican menyerahkan satu unit lif baharu untuk kegunaan penduduk di Pangsapuri Casa Prima, Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Penyandang Parlimen Kepala Batas itu memaklumkan sebuah lagi unit lif bakal menyusul dan dijangka boleh digunakan pada Januari depan.
Dua unit lif Toshiba ini menggantikan lif lama yang rosak, diluluskan dengan kos RM1.55 juta di bawah ‘Bajet Prihatin Lif’ menerusi tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).
“Perkara berkait hal ehwal perumahan tetap menjadi keutamaan saya, walau dalam kesibukan persediaan menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum), kerana ini adalah tanggungjawab saya dalam mendukung agenda Malaysia Berdaya Huni,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Reezal Merican berkata, peruntukan RM90.4 juta untuk TPPM dan Program Penyelenggaraan Perumahan, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Bajet 2023 sangat dialu-alukan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, peruntukan itu akan memastikan daya huni perumahan strata kos rendah sentiasa selamat dan terjamin.
“Jutaan terima kasih Perdana Menteri.
“Terima kasih kepada sahabat saya Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, calon BN P44 Permatang Pauh yang tak jemu-jemu ikhtiar, bantu supaya penggantian lif Casa Prima ini dapat disegerakan demi manfaat komuniti di sini,” katanya. – Edisi 9