30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Lantikan PM ikut ‘kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’

Perlembagaan Persekutuan tidak merujuk kepada keputusan parti politik ahli Dewan Rakyat tersebut, tetapi ahli Dewan itu sendiri

Mesti Baca

PELANTIKAN seorang Perdana Menteri adalah berdasarkan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sepertimana Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Negara, dan bukannya parti politik.

Sehubungan itu, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz berkata, langkah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memanggil menghadap secara individu 30 ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional (BN) adalah satu tindakan bijaksana Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, di bawah Perkara 43(2)(a) dalam melantik Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong akan memilih seorang ahli Dewan Rakyat yang mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan yang lain.

“Proses ini penting untuk melaksanakan frasa ‘…kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’. Perlembagaan Persekutuan tidak merujuk kepada keputusan parti politik ahli Dewan Rakyat tersebut, tetapi ahli Dewan itu sendiri,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menitahkan 30 Ahli Parlimen BN agar menghadap di Istana Negara esok bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, pertemuan itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) petang ini.

Beliau berkata, proses itu bertujuan agar Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada ahli-ahli Parlimen parti itu agar tidak menandatangani sebarang dokumen bagi menamakan sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak sah tetapi juga melanggar Perlembagaan parti.

Katanya, BN menerusi Dewan Tertinggi parti sahaja yang boleh memutuskan parti atau parti gabungan mana yang akan disokong bagi pembentukan kerajaan Persekutuan. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan