29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Bukan sebab Hospital Sungai Buloh – Khairy

Kita tidak boleh hanya menjadi wakil rakyat luar bandar di Malaysia, kita perlu menjadi wakil kepada semua Malaysia dan beranikan diri untuk menawarkan khidmat di bandar.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CALON Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan beliau bertanding di kawasan berkenaan bukanlah semata-mata kerana beliau merupakan Menteri Kesihatan dan di kawasan berkenaan mempunyai Hospital Sungai Buloh.

Sebaliknya, katanya, beliau amat berbangga dengan peranan dan pengorbanan semua kakitangan di Hospital Sungai Buloh sebagai ground zero sewaktu pandemik Covid-19.

“Saya amat berbangga dengan kamu semua dan jika saya menang, saya akan berusaha membawa penambahbaikan yang besar kepada Hospital Sungai Buloh.

“Tapi, itu bukan satu-satunya sebab saya datang ke Sungai Buloh, saya dah tiga penggal menjadi wakil rakyat di Rembau.

“Rembau ini ada kawasan kampung dan juga kawasan pinggiran bandar dan saya telah buat yang terbaik untuk membangunkan Rembau,” katanya menerusi hantaran video di Facebook beliau hari ini.

Khairy Jamaluddin turut menjelaskan bahawa beliau melihat trend masa depan Malaysia semakin ramai rakyat negara ini yang tinggal di kawasan bandar dan berhijrah dari kawasan kampung seperti Rembau.

“Pada masa ini Malaysia telah mencapai 77 peratus kadar urbanisasi dan saya tahu kebanyakan kawasan bandar, Barisan Nasional tidak menjadi pilihan pengundi.

“Jika BN mahu berubah ke arah yang lebih baik, kita mesti berani untuk menawarkan khidmat kita di kawasan bandar.

“Kita tidak boleh hanya menjadi wakil rakyat luar bandar di Malaysia, kita perlu menjadi wakil kepada semua Malaysia dan beranikan diri untuk menawarkan khidmat kita di bandar,” ujarnya.

Katanya, sekiranya BN mewakili orang bandar, polisi BN juga akan lebih mengambil kira isu yang dihadapi oleh majoriti rakyat Malaysia iaitu penduduk di kawasan-kawasan bandar.

“Ini bukan menidakkan pembangunan di kawasan luar bandar atau pedalaman, itu tetap sangat penting.

“Tetapi, jangan kita anggap semua yang duduk di bandar ini orang senang. Kehidupan di bandar mencabar dengan isu-isu seperti kos sara hidup, kos perumahan, akses ke klinik kesihatan, kesesakan jalan raya, pengangkutan awam, banjir kilat, isu alam sekitar dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Katanya, selepas menjaga kawasan kampung selama tiga penggal, beliau bersedia untuk cabaran baru dan mahu datang ke bandar untuk memperjuangkan penduduk dan kawasan Sungai Buloh.

“Perjuangan saya adalah untuk semua tak mengira kaum, agama, atau latar belakang yang penting kita jaga dan bantu semua yang memerlukannya. Saya berikrar di Sungai Buloh, tiada siapa akan ditinggalkan.

“Jadi, saya harap pengundi di Sungai Buloh beri saya peluang, saya akan kerja kuat untuk anda. Saya akan bawa suara Sungai Buloh dengan jelas dan lantang ke Parlimen seperti mana telah saya buat untuk orang Rembau,” katanya.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin sah bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya diserahkan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan