30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Anwar kempunan lagi, kekal sebagai ‘PM tepi’?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

APAKAH Anwar Ibrahim kempunan lagi untuk mengangkat sumpah sebagai seorang Perdana Menteri atau beliau terus kekal sebagai ‘PM tepi’ akan terjawab esok.

Ini ekoran titah Yang di-Pertuan Agong memanggil kesemua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menghadap secara individu bagi membolehkan Baginda membuat keputusan siapa yang akan dipilih majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Kini 30 ahli Parlimen BN yang menjadi kingmaker dalam pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diberi dua pilihan sama ada Anwar Ibrahim ataupun Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan keputusan PRU-15 lalu, memang Pakatan Harapan (PH) memenangi lebih banyak kerusi iaitu sebanyak 82 (selepas digabungkan dengan kerusi dimenangi DAP di Sarawak dan parti MUDA) namun masih belum cukup 112 kerusi bagi mendapat majoriti mudah.

Begitu juga dengan Perikatan Nasional (PN) yang menang 73 kerusi (selepas digabung dengan kerusi dimenangi Pas di Kelantan dan Terengganu) juga tidak mencukupi biarpun sudah mendapat sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Justeru, kuasa penentu di tangan 30 ahli Parlimen BN yang mana sokongan individu ahli-ahli berkenaan membolehkan Agong membuat pilihan ‘ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti’ ahli Dewan yang lain untuk menjadi Perdana Menteri.

Lalu, apakah peluang Anwar esok dan bagaimana pula dengan nasib Muhyiddin?

Di atas kertas, Muhyiddin kelihatan lebih berpeluang cerah untuk mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen BN berbanding Anwar.

Ini kerana setakat ini hanya Zahid Hamidi sahaja yang beriya-iya mahu memberi sokongan kepada Anwar yang dianggap cikgunya dalam politik, sementara majoriti ahli Parlimen BN lebih cenderung kepada Muhyiddin.

Lagipun Muhyiddin turut mendapat sokongan 23 ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta enam ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Itu belum dikira dua kerusi Bebas dan masing-masing satu kerusi daripada Parti Bangsa Malaysia (yang sebelum ini ada memohon untuk menyertai BN) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), yang mungkin cenderung memilih gabungan Muhyiddin.

Jika pun ada sokongan daripada parti lain, Anwar mungkin boleh mengharapkan daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mempunyai tiga kerusi.

Justeru, jika dicongak, Muhyiddin sudah mempunyai sekurang-kurang 105 kerusi berbanding 85 yang dimiliki Anwar.

Maka itu, Muhyiddin hanya memerlukan kira-kira 10 sokongan daripada Ahli Parlimen BN bagi membentuk kerajaan sekali gus menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Anwar? Jika senario ini berlaku maka beliau akan kekal sebagai “PM tepi” buat kali entah ke berapa sejak berusaha untuk menduduki kerusi tersebut lebih 30 tahun lalu.

Maka, dijangkakan esok Muhyiddin akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 manakala Anwar boleh mengangkat “sampah” di Tambun, selepas melakukannya di pantai Port Dickson sebelum ini. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan