28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Rundingan belum selesai, Pas tolak PRU-15 dalam masa terdekat

Pas tetap meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak bagi menjayakan agenda perpaduan ummah.

Mesti Baca

“PEMBUBARAN Parlimen tidak perlu disegerakan.” Demikian pendirian yang dibuat oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini.

Malah beliau menganggap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak wajar diadakan pada masa kini kerana mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim terkujung yang menyukarkan rakyat dan jentera kerajaan.

Namun pada masa yang sama Abdul Hadi berkata, Pas tetap meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak bagi menjayakan agenda perpaduan ummah.

“Pas tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah, bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa Abdul Hadi telah bertemu dengan beliau di kediamannya pada 17 September lalu.

Katanya, UMNO bersedia untuk mengembalikan agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama Pas namun tidak akan sesekali menerima mereka yang menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama.

Beliau berkata, sebarang usaha untuk memulihkan Muafakat Nasional (MN) atau apa sahaja bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali kepada prinsip dan semangat Piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.

Semasa sambutan ulang tahun keenam penubuhan Bersatu di Putrajaya baru-baru ini, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan BN sebagai musuh utama dalam PRU-15.

Pada masa yang sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengajak parti-parti komponen termasuk Pas agar mengambil pendirian serupa.

Abdul Hadi berkata, Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat perlu didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan. – Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan