31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

‘Putrajaya rumah pertama saya di Malaysia’

Tempoh empat tahun menetap di Putrajaya cukup untuk mengenali masyarakat setempat dan mengetahui pelbagai masalah yang membelenggu penduduk.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“SAYA ini memang bila berkomuniti, akan betul-betul dan Putrajaya merupakan rumah pertama saya di Malaysia sejak balik daripada Australia,” kata calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Sehubungan dengan itu, beliau yakin dengan bersandarkan kepada hubungan baiknya dengan masyarakat sekitar kawasan pentadbiran berkenaan selama empat tahun ini akan dapat memenangi hati pengundi Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Bersatu itu berkata, tempoh empat tahun menetap di Putrajaya cukup untuk mengenali masyarakat setempat dan mengetahui pelbagai masalah yang membelenggu penduduk.

“Saya tinggal di sini sejak 2018 dan rumah pertama saya adalah di Pangsapuri Larai sebelum berpindah ke Presint 10.

“Ketika itu saya banyak bergaul dengan komuniti setempat khususnya jawatankuasa masjid dan surau, masyarakat, kepimpinan masyarakat, persatuan penduduk dan persatuan sukan.

“Insya-Allah, jaringan yang ada dengan kakitangan awam semasa di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pendidikan memberi ruang yang sebaiknya untuk saya menyantuni pengundi di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1), Putrajaya hari ini.

Banyak perkara disampaikan kepada saya, walaupun Putrajaya ini adalah bandar pentadbiran serta terancang namun banyak perkara perlu ditambahbaik antaranya penyelenggaraan kuarters yang tidak diberi perhatian dalam tempoh lama dan tiada pengangkutan awam seperti bas untuk menghantar anak ke sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, sepanjang di Putrajaya beliau telah banyak melihat perubahan yang berlaku.

“Kalau dulu anak pergi sekolah dengan bas, tetapi kini ibu bapa terpaksa menghantar berikutan ketiadaan bas di Putrajaya. Selain itu ruang parkir juga menjadi isu di bandar ini,” katanya.

Untuk rekod, kerusi Putrajaya disandang oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selama empat penggal manakala pada PRU-14 lalu Bendahari UMNO itu menang dengan majoriti 3,372 undi.

Beliau memperoleh sebanyak 12,148 undi menewaskan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat yang masing-masing memperoleh undi sebanyak 3,634 dan 8,776.

Radzi berkata, jika diberi peluang menang di Parlimen Putrajaya, PN akan melonjakkan Putrajaya ke peringkat lebih baik dengan menaik taraf infrastruktur yang mempunyai kelemahan pada waktu ini.

“Walaupun Putrajaya ini kawasan pentadbiran kerajaan dan bandar terancang namun hasil perbincangan kita dengan semua pihak, banyak perkara yang perlu ditambah baik, “katanya.

Sementara itu, kata beliau, rekod PN semasa menjadi kerajaan mampu membantu parti gabungan itu menakluk Putrajaya.

“Kita pernah memerintah ketika waktu COVID-19 dan ia membuktikan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat bekerjasama rapat dengan penjawat awam serta menghormati pandangan diberikan oleh mereka.

“Rekod kita jelas bagaimana kita dapat bekerjasama dengan baik dan rekod itu juga akan dibawa bersama bagi memastikan kita dapat melonjakkan Putrajaya ini kepada yang lebih baik,” katanya.

Menyentuh mengenai manifesto, Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PN berkata, perkara itu akan dilihat secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada konteks prihatin, bersih dan stabil.

“Ini adalah perkara yang ingin kita bawa dalam konteks pembangunan masyarakat, banyak perkara yang kita akan lihat secara menyeluruh merangkumi segmen masyarakat dan bagi memastikan apabila kita membentuk kerajaan, kita bersedia.

“Apa yang selalu disebut oleh Tan Sri Muhyiddin, apabila diizinkan untuk membentuk kerajaan perkara pertama yang ingin dilihat adalah bagaimana cabaran yang dihadapi oleh negara dan rakyat kerana kita melalui satu tempoh yang sukar.

“Itulah yang akan ditekankan PN menerusi konsep prihatin kepada rakyat bagi membina sebuah kerajaan kukuh, stabil dan bersih,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan