GESAAN dan dakwaan bekas ahli UMNO, Datuk Zaharin Yassin berkenaan wujudnya kartel dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berakhir dengan ucapan terima kasih olehnya kepada Menteri Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin.
Zaharin berkata, dengan respon yang diberikan Radzi atas isu berkenaan akan dapat membersihkan nama menteri berkenaan.
“Terima Kasih YB Menteri (Radzi Jidin). Kesian saya jika beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).. . Isu ini akan digunakan menyerang beliau.. Harap menteri lain mencontohi beliau,” katanya dalam Facebook hari ini.
Semalam, Radzi mengarahkan Ketua Setiausaha KPM untuk membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan Zaharin Yassin.
Zaharin dalam satu hantaran video berdurasi dua minit 45 saat mendakwa berlaku penyelewengan dalam kontrak bekalan makanan serta pembersihan bangunan serta menyamakan situasi tersebut seperti wujudkan kartel dalam KPM.
Radzi berkata, memandangkan Zaharin mendakwa menerima aduan berhubung perkara itu dan menyebut nama beliau, Radzi berharap siasatan dijalankan segera.
“Saya menerima hantaran video yang dibuat oleh Saudara Zaharin Yassin menyatakan bahawa terdapat aduan yang beliau terima tentang penyelewengan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.
Radzi dalam hantaran Facebook hari ini berkata, sejak hari pertama menjejakkan kaki di KPM, prinsip beliau adalah untuk memastikan agar setiap sen peruntukan untuk pendidikan generasi pewaris negara digunakan sebaiknya untuk manfaat mereka.
“Adalah penting untuk memastikan imej Kementerian Pendidikan kekal bersih bagi terus membina kepercayaan rakyat,” tegasnya.
-EDISI9

