25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Zahid Hamidi jelaskan ucapan ‘sanggup redah banjir’

Ucapan beliau jelas untuk memberi gambaran kepada Perdana Menteri betapa jentera BN sudah pun bersedia untuk menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan ucapannya bahawa parti itu “sanggup meredah banjir jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini” sengaja dimanipulasi kononnya BN tidak mempedulikan keselamatan rakyat.

Beliau tampil menjelaskan, ucapannya pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN baru-baru ini, adalah bagi menyatakan semangat serta kesiapsiagaan selain memberi gambaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa jentera parti sanggup meredah segala cabaran demi memastikan kemenangan PRU-15 milik BN.

“Ucapan ini jelas untuk memberi gambaran kepada Perdana Menteri betapa jentera BN sudah pun bersedia untuk menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa walau apa jua keadaan dan situasi.

“Bagaimanapun ucapan bagi menyatakan semangat serta kesiapsiagaan jentera BN itu dimanipulasi dan dipropagandakan konon BN tidak mempedulikan keselamatan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, rumusan kepada ucapannya adalah mudah iaitu BN sudah bersedia menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa dan dalam keadaan apa sekali pun.

Parti-parti komponen termasuk MIC kini sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15.

Katanya, BN percaya kepada kemampuan dan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjayakan amalan demokrasi dalam sebarang situasi.

“Namun, jika benar lawan BN khuatir PRU15 diadakan semasa banjir, ia bukan alasan terbaru demi menyelamatkan politik mereka, maka kita adakan PRU15 sekarang.

“Sudah masa untuk mereka walk the talk dan `tekanlah butang’ supaya SPR boleh tetapkan tarikh terhampir untuk rakyat memilih sebuah kerajaan baharu yang stabil dan lebih kukuh.

Advertisements

“Rakyat tidak pernah lupa dan mudah tertipu lagi dengan kisah dipertontonkan oleh kerajaan 22 bulan,” katanya.

Beliau berkata, BN sebenarnya sudah lama meminta supaya PRU15 diadakan terutama selepas negara mencapai imuniti kelompok bagi mengembalikan kestabilan.

Katanya, BN menuntut mandat diserahkan semula kepada rakyat untuk membolehkan sebuah kerajaan yang kukuh dan sehaluan dalam mendepani pasca pandemik dapat dibentuk.

“Bagaimanapun lawan BN membantah dan memberi alasan demi alasan kerana mereka tahu sedang berada dalam kedudukan ditolak oleh rakyat.

“Bermula dengan alasan negara masih di peringkat pandemik dan seterusnya menggunakan alasan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan apabila memasuki fasa ke endemik.

“Kini mereka menggunakan pula alasan banjir sedangkan bekas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mereka pernah mengadakan PRU pada November 1999,” katanya.

Ahmad Zahid ketika melancarkan Jentera Pemuda BN baru-baru ini dilaporkan berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO, menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan