28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Zahid bersyukur UMNO berjaya bangkit walau ditekan hebat

Pemimpin dan ahli akar umbi teguh bertahan dan menentang bersandarkan keyakinan dan kepercayaan terhadap makna perjuangan UMNO itu sendiri.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi bersyukur kerana UMNO telah berjaya bangkit semula selepas mengharungi peristiwa hitam 9 Mei 2018 lalu walaupun dalam serba kekurangan dan berdepan tekanan hebat sang penguasa.

Bagaimanapun, Presiden UMNO itu berkata, kebangkitan parti itu tidak lain kerana berkat keyakinan, kesungguhan dan kepercayaan seluruh keluarga besar UMNO, bersatu padu bersama mendepani memintas cabaran demi cabaran.

“Benar laluannya agak berliku. Dalam tempoh lebih empat tahun lalu, andai disingkap penuh ranjau menguji istiqamah serta kesabaran kita semua.

Bermula dengan pembelotan, desakan bubar UMNO, pendakwaan terpilih, ancaman pendaftaran UMNO dibatalkan dan seumpamanya.

“Namun Alhamdulillah itu semua tidak pernah menjadi halangan kepada mereka yang setia kerana bagi kita, UMNO adalah parti keramat yang harus untuk kita bersama perjuangkan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Berikut kenyataan penuh Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN:

Kita menzahirkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana menyaksikan kebangkitan UMNO selepas sejarah hitam Malaysia 9 Mei 2018 berlalu.

Selangkah demi selangkah UMNO yang pernah tewas PRU-14 angkara pembohongan dan persepsi jahat musuh politik bangkit semula.

Berkat keyakinan, kesungguhan dan kepercayaan seluruh keluarga besar UMNO, bersatu padu bersama mendepani memintas cabaran demi cabaran.

Benar laluannya agak berliku. Dalam tempoh lebih empat tahun lalu, andai disingkap penuh ranjau menguji istiqamah serta kesabaran kita semua.

Bermula dengan pembelotan, desakan bubar UMNO, pendakwaan terpilih, ancaman pendaftaran UMNO dibatalkan dan seumpamanya.

Namun Alhamdulillah itu semua tidak pernah menjadi halangan kepada mereka yang setia kerana bagi kita, UMNO adalah parti keramat yang harus untuk kita bersama perjuangkan.

UMNO adalah rakyat dan rakyat adalah UMNO dalam pengertian sebuah perjuangan nan luhur demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Saksikan betapa UMNO yang pernah dinaratifkan sebagai sudah tiada dan lenyap, ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun’ terus mara dengan penuh semangat juang sehingga hari ini.

Parti politik yang tidak pernah senang dan sakit hati dengan parti keramat ini, sentiasa mendabik dada akan menggantikan UMNO selepas dipropagandakan sudah `berkubur’ mencari jalan untuk UMNO bersubahat bersama mereka.

Itu pun selepas mereka terlebih dahulu gagal untuk “hijack” (merampas) dengan mengambil alih UMNO bagi diperkudakan untuk kepentingan politik mereka.

Sesungguhnya segala kisah suka dan duka UMNO harungi bersama sejak peristiwa hitam 2018 melanda negara menjadi catatan sejarah yang mendewasakan kita semua.

Tentunya juga saya mengingati sejarah yang meragui apakah saya mampu mengendali UMNO dalam keadaan parti ini lemah dan diasak musuh dari segenap penjuru.

Tidak pernah sesekali saya berasa kecil hati tentang itu, kerana benar saya satu-satunya Presiden UMNO tanpa UMNO menguasai kerajaan.

Ia sesuatu yang belum pernah disaksikan sebelumnya. Sukar untuk ramai pihak ketika itu meramalkan UMNO mampu bangkit tanpa kuasa.

Syukur Alhamdulillah, namun kerana kerjasama pimpinan dan ahli akar umbi yang ikhlas dan setia, kita membuktikan UMNO sebuah parti dengan asas yang kukuh.

UMNO bangkit walaupun dalam serba kekurangan dan berdepan tekanan hebat sang penguasa yang berusaha membuat `pukulan terakhir’.

Pemimpin dan ahli akar umbi teguh bertahan dan menentang bersandarkan keyakinan dan kepercayaan terhadap makna perjuangan UMNO itu sendiri.

Yakinilah segala kisah pengorbanan dan keazaman itu akan terus menjadi inspirasi terhebat mengiringi UMNO mencapai kebangkitan penuh pada PRU-15 nanti.

Insya Allah banyak yang kita bersama ‘pelajari’ sejak 9 Mei 2018 telah menjadikan UMNO lebih memahami tentang segala-galanya.

Bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain kita akan membentuk sebuah kerajaan milik rakyat yang lebih jitu, saksama dan gemilang apabila tiba masanya.

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan