34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

SPRM perlu kekal bebas tekanan politik – Azam

Cadangan meletakkan SPRM di bawah Parlimen dikhuatiri menyebabkan suruhanjaya itu terikat terpaksa mengikut arahan ditetapkan oleh ahli politik.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah berperanan sebagai institusi bebas meskipun tidak diletakkan di bawah Parlimen seperti diusulkan beberapa pihak sebelum ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berpandangan cadangan sedemikian dikhuatiri akan menyebabkan SPRM terikat atau terpaksa mengikut arahan ditetapkan oleh ahli politik.

“Kalau SPRM berada di bawah Parlimen saya menjangkakan akan berlaku kemungkinan terpaksa mengikut arahan prosedur tertentu yang ditetapkan oleh orang politik sedangkan ada pihak (menyatakan) kita perlulah bebas daripada tekanan politik.

“Saya sebelum ini juga pernah mendapat kiriman mesej daripada seorang menteri kanan yang bertanya adakah SPRM sedang menyiasat beliau. Saya cuma balas ‘Ya, terima kasih’, setakat itu sahaja.

“Dalam siasatan kes Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) misalnya, ramai individu berprofil tinggi dinamakan, adakah saya perlu tanya mereka terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan? Kita tidak pernah tanya dan ini menunjukkan kebebasan kita,” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Zon Utara di sini, hari ini.

Azam berkata, sudah terdapat negara meletakkan agensi pencegahan rasuah mereka di bawah Parlimen dan beliau mendapati badan berkenaan perlu mendapat kebenaran sebelum memulakan sesuatu siasatan.

“Saya tidak mahu menamakan mana-mana negara yang letakkan (badan pencegahan rasuah) di bawah Parlimen atau Senat, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Parlimen sebelum memulakan sesuatu siasatan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa SPRM adalah insitusi yang telus dengan enam badan bebas memantaunya termasuk membabitkan jawatankuasa pada peringkat Parlimen untuk memastikan proses semak dan imbang berlaku.

“Bagaimanapun, kami tetap terbuka jika penggubal undang-undang mahu membuat perubahan di Parlimen (jika ia membabitkan kedudukan SPRM),” katanya.

Azam berkata, SPRM turut boleh dilihat sebagai bebas meskipun tidak diletakkan di bawah Parlimen jika cadangan yang digariskan menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata, ini termasuk memastikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dilantik secara sewenang-wenangnya sebaliknya menerusi perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan