32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pusat SDG Negara ditubuh perkasa pembangunan mampan – PM

Mesyuarat juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan-kerajaan negeri.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bersetuju menubuhkan Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara bagi memperkasa dan mempergiat program serta memantau kemajuan SDG di negara ini.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis SDG Negara yang dipengerusikan buat julung kalinya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak penubuhan pada 2016.

Menurut Ismail Sabri, agenda pembangunan mampan memerlukan penglibatan menyeluruh dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikatsyarikat swasta dipertingkatkan.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan-kerajaan negeri.

“Sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri. Setiap negeri digalakkan menyediakan laporan ini sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Perdana Menteri lagi, mesyuarat turut mengambil maklum akan cabaran dan situasi semasa peringkat global dan tempatan serta kemerosotan dalam pencapaian beberapa SDG negara ekoran impak negatif pandemik COVID-19, cabaran perubahan iklim dunia, krisis inflasi dan kemelut geopolitik antarabangsa.

Untuk rekod, SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), 2016-2020 dan kini sedang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), 2021-2025 serta akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), 2025-2030.  

Pelaporan kemajuan SDG negara dilaksanakan setiap empat tahun, sejajar dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar pembentangan laporan dilakukan secara berkala menerusi Laporan Semakan Kebangsaan (VNR).

Malaysia telah membentangkan VNR pada tahun 2017 dan 2021 di Forum Politik Peringkat Tinggi Matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (High Level Political Forum on Sustainable Development – UN HLPF) bagi memenuhi obligasi negara di peringkat global.

VNR melaporkan secara inklusif kemajuan dan cabaran negara dalam pelaksanaan SDG di peringkat nasional.

Selain itu menurut beliau, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diminta supaya segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada penghujung tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

Menurutnya, kerajaan komited untuk mencapai Agenda 2030 dan memperkukuhkan tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030 dengan melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dalam arus pembangunan sosioekonomi negara.

-EDISI9

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan