36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PM jamin mangsa penipuan kerja di luar negara dibawa pulang

Seluruh Keluarga Malaysia dinasihat agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN memberi jaminan akan memastikan warga Malaysia yang terkandas di beberapa negara disebabkan terpedaya sindiket penipuan kerja dibawa pulang dengan selamat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan prihatin dan mengambil serius nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara termasuk Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja itu.

Menurut beliau, kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara itu seperti yang disuarakan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

“Usaha-usaha sedang dilaksanakan melalui semua saluran yang ada.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishammuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa.

“Ia bagi mendapatkan maklumat terperinci untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menasihati seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

“Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” katanya.

Media semalam melaporkan MHO memohon kerajaan membantu dan campur tangan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja membabitkan warga Malaysia yang terkandas di luar negara melalui rundingan di peringkat ASEAN.

Untuk rekod, seramai 16 orang rakyat Malaysia di Thailand, 27 di Laos dan lima di Myanmar, yang menjadi mangsa sindiket telah berjaya diselamatkan.

Sementara itu, bilangan yang sedang dijejaki pula seramai 12 orang di Thailand, 28 di Laos dan 54 di Myanmar.

Semalam, lima lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja diselamatkan dan pulang ke tanah air.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan