25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 13, 2024

Bajet 2023 terus tumpu pengukuhan, pemulihan ekonomi

Bagi menjana pertumbuhan yang lebih mampan dalam jangka masa panjang dan memastikan Keluarga Malaysia makmur serta sejahtera.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BAJET 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini akan terus memberi tumpuan kepada mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia bagi menjana pertumbuhan yang lebih mampan dalam jangka masa panjang dan memastikan Keluarga Malaysia yang makmur serta sejahtera.

“Pengurusan ekonomi negara pada 2022 dijangka akan lebih mencabar.

“Bagaimanapun, ekonomi Malaysia masih berada di landasan yang kukuh, disokong asas ekonomi yang berdaya tahan, dasar yang pragmatik dan kepelbagaian struktur ekonomi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustapa berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada 2022 dan 2023 oleh pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sudah disemak semula dan diturunkan.

Katanya, IMF menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi dunia kepada 3.2 peratus bagi 2022 pada Julai, berbanding 3.6 peratus pada April dan 4.4 peratus pada Januari 2022.

“Bagi 2023, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia diturunkan daripada 3.8 peratus pada Januari 2022 kepada 2.9 peratus pada Julai 2022.

Beliau berkata, ekonomi negara dijangka mampu mencapai sasaran antara 5.3 hingga 6.3 peratus, mengambil kira pencapaian separuh pertama 2022 sebanyak 6.9 peratus.

“Beberapa petunjuk utama ekonomi negara turut mencatatkan prestasi yang baik, termasuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI) terus melepasi paras nilai ambang, iaitu 50.3 pada Ogos 2022, jumlah jualan kenderaan penumpang dan komersial meningkat 271.7 peratus kepada 66,614 unit pada Ogos (Januari hingga Ogos 2022: 62.8 peratus) dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) melonjak tinggi iaitu 12.5 peratus pada Julai 2022 (Januari hingga Julai 2022: 6.6 peratus).

“Nilai jualan sektor pembuatan pada Julai 2022 meningkat 23.8 peratus atau RM148.4 bilion, tertinggi sejak Mei 2021 (Januari hingga Julai 2022: RM1,007.2 bilion), jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 41 peratus atau RM130.7 bilion pada Julai 2022 (Januari hingga Julai 2022: RM882.2 bilion) dan jumlah ketibaan pelancong meningkat kepada 3.2 juta pelancong bagi Januari hingga Jun 2022,” katanya.

Advertisements

Mustapa berkata, inflasi negara meningkat 2.8 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai 2022, selari dengan sasaran Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu antara 2.2 hingga 3.2 peratus, manakala bagi Julai, Malaysia mencatatkan kadar inflasi 4.4 peratus, lebih rendah berbanding beberapa negara serantau.

“Kadar peningkatan harga lebih rendah di Malaysia adalah hasil daripada pelbagai langkah dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan seperti mengekalkan subsidi, menetapkan harga siling bagi beberapa barangan, meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan di sempadan serta menubuhkan Pasukan Jihad Tangani Inflasi,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan, bagi tempoh 3 Januari hingga 20 September 2022, nilai ringgit menyusut sebanyak 9.2 peratus, namun Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menghadapi penyusutan nilai mata wang, yang disebabkan pengukuhan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$).

“Bagaimanapun, nilai ringgit Malaysia sudah mengukuh, berbanding beberapa nilai mata wang asing seperti Yen Jepun (13.9 peratus), Won Korea (7.0 peratus), Baht Thailand (2.0 peratus) dan Renminbi China (1.0 peratus).

“Kadar pengangguran di Malaysia adalah 3.7 peratus, iaitu menghampiri paras pra pandemik dan dijangka terus menurun secara beransur-ansur bagi bulan akan datang,” katanya.

Pada masa sama, Mustapa berkata, jumlah perdagangan negara meningkat 31.1 peratus kepada RM1.87 trilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, berbanding RM1.41 trilion pada tahun sebelumnya.

“Jumlah eksport Malaysia meningkat 30.3 peratus kepada RM1.0 trilion (Januari hingga Ogos 2021: RM778.5 bilion), selain mencatat lebihan dagangan sebanyak RM155.6 bilion, berbanding RM150.1 bilion bagi tempoh sama pada 2021.

“Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI) dengan mencatat aliran masuk bersih FDI lebih tinggi sebanyak RM41.7 bilion pada Januari hingga Jun 2022, berbanding RM20.2 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“FDI yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencatat RM87.5 bilion bagi separuh tahun pertama, lebih tinggi berbanding RM86.7 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.-BERNAMA

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan