25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Pinjaman PTPTN dinaikkan 100 peratus bagi M40 (M1)

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN menaikkan peratusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mahasiswa golongan M40 kategori M1 daripada 75 peratus kepada 100 peratus.

Pengumuman itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), hari ini.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN daripada golongan M40.

Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju memperluas Jualan Murah Keluarga Malaysia yang akan diadakan di setiap universiti selepas mahasiswa dijadualkan menjalani semester baharu, bulan depan.

“Keputusan itu dimuktamadkan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup ditanggung mahasiswa golongan M40 kategori M1.

“Kalau dulu pinjaman (PTPTN) kepada (mahasiswa) M40 (kategori) M1 hanyalah 75 peratus sahaja. Saya ingin mengumumkan pinjaman M40 (kategori) M1 dinaikkan kepada 100 peratus.

“Seterusnya adalah untuk laptop, kerajaan bersetuju menyediakan kemudahan pinjaman laptop kepada peminjam PTPTN golongan M40.

“Percayalah, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan mahasiswa dan mahasiswi…banyak lagi yang akan kita umumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,”katanya.

Advertisements

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.

Menurut Perdana Menteri dalam konteks pendidikan tinggi, banyak cara dan perkara boleh dilakukan dalam menzahirkan semangat patriotik dan perjuangan terpenting mahasiswa ketika ini adalah kekal menjadi benteng teguh dalam memastikan hubungan Keluarga Malaysia yang majmuk terus erat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semangat mencintai negara dalam kalangan mahasiswa hendaklah terus digilap dan dipupuk serta dipertahankan menerusi pelbagai wahana berbentuk kenegaraan.

“Saya percaya mata pelajaran umum atau MPU yang dilaksanakan di IPT mampu memperteguh penghayatan mahasiswa sekalian kepada etika dan peradaban masyarakat pelbagai etnik di Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, mahasiswa perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan keperibadian unggul bagi membuktikan mereka ialah pewaris legasi kemerdekaan negara, yang berjiwa nasional dan penuh wibawa.

“Sesuai dengan tema program hari ini, ‘Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia’, Perdana Menteri turut yakin golongan itu akan berupaya menjelmakan satu gelombang momentum semangat kesetiaan dalam melaksanakan kewajipan sebagai benteng kedaulatan dan maruah negara.

“Berpeganglah pada lima prinsip Rukun Negara dengan pasakkan tekad yang teguh untuk tetap bersatu dalam kepelbagaian dan jangan sekali-kali membiarkan anasir luar mengganggu-gugat kesepaduan kita.

“Mari berganding bahu demi merealisasikan masa hadapan lebih gemilang buat Malaysia tercinta, dan kita paterikan janji keramat untuk memastikan Jalur Gemilang sentiasa berkibar megah di persada jaya,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan