26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pengawal keselamatan hina Sultan Johor didenda RM21,000

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG pengawal keselamatan didenda RM21,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana membuat dan menghantar komunikasi jelik berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hairol Ahmad, 41, selepas dia mengaku bersalah terhadap ketiga-ketiga pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut ketiga-ketiga pertuduhan, Mohd Hairol didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Mohammad Khairolmanshur’ antara 10.51 pagi dan 11.01 pagi, 24 Ogos lepas.

Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Menara KPJ Kuala Lumpur, kira-kira 6.13 petang pada hari sama.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Mohd Hairol yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya kerana telah menyesali perbuatannya itu.

“Puan Arif tolong maafkan saya, saya bertindak ikut emosi dan bodoh semasa berada di rumah hingga memuat naik status jelik tanpa sedar kesan serta betapa serius kesalahan ini.

“Saya merupakan penanggung utama keluarga dan saya sendiri akan membawa emak saya ke hospital untuk menjalani pembedahan hempedu pada Jumaat ini,” katanya yang menangis teresak-esak, seperti dilaporkan Bernama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling mencadangkan hukuman pemenjaraan dan denda yang berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius selain ia sebagai iktibar kepada masyarakat. 

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan