24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Malaysia saran wujudkan dunia multipolar – Ismail Sabri

Semua negara harus dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan pengagihan kuasa baharu dalam mencorak masa hadapan yang lebih makmur, mampan dan saksama.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SETIAP negara bangsa perlu berani mengorak langkah ke arah mewujudkan dunia multipolar yang aman damai, menghormati diplomasi antarabangsa dan mewujudkan hubungan sejahtera sejagat, kata Datuk Seri Ismail Sabri.

Menyuarakan pandangan Malaysia pada Forum Ekonomi Timur Ketujuh (EEF) yang bertemakan On the Path to a Multipolar World, Perdana Menteri berkata, dunia hari ini sedang bergerak ke arah multipolar yang membawa bersama ancaman serta peluang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak.

Menurut beliau, semua negara harus dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan pengagihan kuasa baharu dalam mencorak masa hadapan yang lebih makmur, mampan dan saksama.

Dari perspektif Malaysia, katanya tiada negara yang boleh hidup secara terasing.

“Oleh itu, Malaysia sentiasa mengamalkan sikap mesra dan terbuka untuk menjalinkan persahabatan dengan mana-mana negara,” katanya ketika menyertai sesi plenari EEF secara dalam talian, lapor Bernama.

EEF edisi ketujuh itu berlangsung secara fizikal di Vladivostok, sebuah bandar yang terletak di Timur Jauh Rusia bermula dari 5 sehingga 8 September.

Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan pada sesi plenari EEF secara dalam talian hari ini. FOTO: Bernama

Menurut laman web rasmi EEF, forum berkenaan ditubuhkan pada 2015 untuk menyokong pembangunan ekonomi Timur Jauh Rusia dan mengembangkan kerjasama antarabangsa di rantau Asia-Pasifik.

Ismail Sabri berkata, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip Kepaksian ASEAN serta prinsip-prinsip asas seperti saling bekerjasama, menghormati kedaulatan negara serta semangat membantu negara-negara anggota bagi mencapai keamanan dan kemakmuran serantau.

Sebagai salah sebuah negara pengasas perkumpulan ASEAN, katanya, Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam pembinaan komuniti ASEAN dan integrasi serantau.

“Adalah menjadi harapan Malaysia agar semua rakan dialog ASEAN, memberi perhatian dan menghormati prinsip ini,” katanya.

Mengupas dari sudut ekonomi dalam dunia multipolar itu, Ismail Sabri berkata terdapat beberapa negara membangun muncul sebagai kuasa ekonomi baharu.

Advertisements

Beberapa negara lain pula sedang bergerak ke arah menjadi pemangkin pertumbuhan tambahan, manakala ada yang berusaha untuk mencapai potensi dalam sistem baharu itu.

Menjelang 2040, katanya negara-negara Asia dijangka menguasai separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia serta 40 peratus daripada kuasa beli global dengan sebahagian besarnya berasal daripada negara negara Asia Tenggara.

“Hampir 60 peratus daripada perdagangan di Asia adalah dalam kalangan negara-negara Asia sendiri. Ini jelas membuktikan bahawa Asia mampu mempengaruhi trend atau arah aliran perdagangan dunia dengan mengambil pendekatan bersifat serantau,” katanya.

Pada sesi plenari EEF itu, Ismail Sabri turut menekankan bahawa dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran, daripada ketidaktentuan ekonomi, kesihatan awam, geopolitik sehingga ke perubahan iklim.

Ancaman tersebut, memberi impak tidak terjangka kepada dunia dan masyarakat antarabangsa sewajarnya memberi perhatian kepada isu-isu keselamatan bukan tradisional terutamanya sekuriti makanan, katanya.

Beliau berkata satu perspektif menyeluruh terhadap pelbagai ancaman keselamatan sejagat perlu diambil kira supaya satu penyelesaian bersifat komprehensif dapat dirangka dan dicapai secara bersama.

Persepsi ketidaksamarataan baik dari segi kuasa politik, kuasa ekonomi mahupun tahap pembangunan antara negara dan antara rantau berlainan, perlu diakui dan ditangani dengan berhemah terutamanya oleh kuasa kuasa besar selaku pemain utama politik dan ekonomi di peringkat antarabangsa, katanya.

Beliau berkata negara yang masih percaya pada hegemoni hanya akan mewujudkan perbalahan, ketegangan dan ketidakstabilan dalam aspek politik dan sosial.

“Sebarang penyelesaian yang mahu mahu dicari tidak sepatutnya hanya menguntungkan satu pihak semata mata tetapi seharusnya melibatkan semua pihak,” katanya sambil menegaskan kestabilan politik dan ekonomi di peringkat antarabangsa adalah penting untuk dunia terus bergerak ke hadapan.

Ismail Sabri menegaskan bahawa Malaysia kekal komited untuk terus maju ke hadapan bersama-sama negara negara di dunia, dalam mencari kaedah terbaik bagi menangani cabaran masa kini secara lebih bermakna.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan