25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Muktamar Pas: Suraya terima jemputan atas kapasiti Exco

Bagaimana kepimpinan UMNO hendak hadir jika tiada sebarang jemputan dibuat atas kapasiti parti?

Mesti Baca

KETUA Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob mengesahkan ada menerima jemputan ke Muktamar Tahunan Ke-68 Pas yang berlangsung di Alor Setar.

Bagaimanapun beliau berkata, jemputan yang diterima daripada Ketua Pegawai Khas Menteri Besar, Zulkifli Yahya itu dibuat atas tiket beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Beliau yang merupakan Exco Bekalan Air, Sumber Asli dan Kerja Raya Kedah berkata, jemputan yang diterima itu langsung tidak melibatkan kapasiti kepimpinan UMNO atau institusi kepartian.

“Malah ketika berbual dengan Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Majlis Perasmian Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas Dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan pada 1 September lalu, beliau hanya berseloroh memberitahu Muktamar Tahunan Pas 2022 itu dibuat serentak dengan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kedah.

“Namun beliau langsung tidak menyebut tentang sebarang jemputan kepada kepimpinan UMNO di peringkat Pusat mahupun Negeri Kedah ke Muktamar berkenaan.

“Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berada di majlis yang sama juga tidak dimaklumkan tentang sebarang undangan ke Muktamar Pas 2022 itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang berkata, tiada sebarang undangan dibuat oleh Pas kepada kepimpinan UMNO Pusat atau negeri untuk ke muktamar tersebut.

Hakikatnya, beliau berkata, sepanjang empat tahun Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan, beliau tidak pernah sekalipun hadir ke mana-mana muktamar parti itu mahupun mesyuarat di peringkat Pas Kawasan serta negeri.

“Peliknya, pada tahun 2022 ini kecoh pula tentang kononnya tidak seorang pun kepimpinan UMNO hadir pada Muktamar Pas?

“Bagaimana kepimpinan UMNO hendak hadir jika tiada sebarang jemputan dibuat atas kapasiti parti? Apakah kerana kekecohan tersebut sengaja Pas cetuskan gara-gara PRU-15 yang hampir tiba?,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Pas agar lebih ikhlas dan bercakap benar kepada rakyat tentang soal jemputan atau kehadiran kepimpinan UMNO ke muktamar tersebut.

“Usah diputar belit, berlagak suci atau “play victim” dalam soal ini, dan mengelirukan orang ramai mengenai hal sebenar yang berlaku dengan menyalahkan kepimpinan UMNO.

“Demi menjaga hubungan persaudaraan sesama kita, saya harap Pas maklum mengenai perkara ini. Terima kasih,” katanya Ketua UMNO Bahagian Pendang itu.

Semalam, Jamil Khir mengesahkan UMNO Kedah dan pemimpinnya tidak menerima sebarang jemputan daripada Pas untuk menghadiri muktamar yang berakhir semalam di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar.

Beliau berkata, dakwaan Takiyuddin bahawa parti itu ada menjemput UMNO dan pemimpinnya tetapi tiada respon adalah tidak benar.

“Kenyataan ini (Takiyuddin) sebenarnya adalah tidak benar dan dikhuatiri akan mengelirukan pembaca di luar sana,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Jamil Khir berkata, tiada sebarang undangan mahupun jemputan yang diterima daripada pihak Setiausaha Agung Pas Pusat mahupun mana-mana wakil Pas.

Beliau berkata, penting bagi UMNO Kedah untuk menjelaskan situasi tersebut dengan sejelas-jelasnya supaya tiada persepsi buruk yang tidak diingini wujud kelak. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan