34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

MQA, EMGS kukuh kerjasama akreditasi program pelajar antarabangsa

Kerjasama ini dijangka dapat meningkatkan lebih banyak jalinan strategik kedua-dua agensi di bawah KPT.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) terus perkasa kerjasama strategik bagi mempermudah proses kemasukan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohamad Shatar Sabran berkata, kerjasama itu bertujuan untuk perkongsian data daripada kedua-dua agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan dalam usaha memudah cara calon pelajar antarabangsa.

Beliau berkata, jalinan itu akan memperkukuh serta memperkembang usaha sama kedua-dua pihak dalam proses perkongsian data Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) dan data akreditasi seterusnya mampu digunakan bagi mempromosi Malaysia dalam usaha menjadi hab pendidikan global seperti dihasratkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

“Merujuk kepada data akses capaian MQR sepanjang tahun 2021 adalah sekitar 2,828,469 carian dan sehingga Ogos 2022 sekitar 1,673,080 carian.

“Ini membuktikan masyarakat umum sudah mula menyedari kepentingan menyemak kelayakan dan akreditasi sesuatu program sebelum memilih untuk melanjutkan pengajian,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MQA dan EMGS di Mercu MQA, hari ini.

Pada majlis itu, Mohammad Shatar mewakili MQA, manakala EMGS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Radzlan Jalaludin sambil disaksikan masing-masing oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Pengarah Bersekutu (Strategi Korporat EMGS), Azhar Mohamed.

Hadir sama, Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim dan Pengarah Kanan, Pemasaran, Komunikasi dan Penjenamaan EMGS, Rahimah Ibrahim.

Sementara itu, Mohd Radzlan berkata, dalam kerjasama itu, pihak MQA diberikan kemudahan mengakses data yang bersesuaian menerusi sistem Student Application Registration (STARS) dan Dashboard EMGS bagi kegunaan rujukan dan semakan kesahihan maklumat pelajar antarabangsa.

Katanya, proses itu bagi memastikan kursus ditawarkan mempunyai akreditasi yang dikemas kini mengikut rekod MQA.

“Kerjasama ini dijangka dapat meningkatkan lebih banyak jalinan strategik kedua-dua agensi di bawah KPT ini secara bersepadu dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia.

“EMGS juga komited akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai sasaran menarik minat 250,000 pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia menjelang tahun 2025,” katanya.-Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan