30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Khairy ‘lepaskan’ kerusi Parlimen Rembau dengan berat hati

Bagi memberi laluan kepada Mohamad Hasan yang berhasrat bertanding di DUN Rantau dan Parlimen dalam PRU-15

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan ‘melepaskan’ kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun dengan berat hati.

Menurutnya, tindakan itu terpaksa dibuat memandangkan beliau telah menerima arahan agar memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan bertanding peringkat Parlimen.

Khairy mengakui terpaksa akur dengan arahan itu walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau.

“Dia (Mohamad) dah maklum untuk saya pergi ke tempat lain. Oleh kerana beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau dan saya timbalannya, jadi beliau minta saya cari tempat lain sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau.

“Saya tidak ada halangan sebab beliau Ketua Bahagian dan dia telah minta saya beri laluan kepada dia. Jadi, saya kena beri laluanlah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15 dan pada masa sama, akan mempertahankan kerusi DUN Rantau yang disandang sejak 2004.

Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya nanti.

Advertisements

Sementara itu, mengenai kawasan Parlimen yang bakal ditandingi pada PRU-15, Khairy tidak mengetahui kerusi mana yang bakal diwakilinya kerana tidak pernah menjangka perlu keluar dari Rembau.

“Buat apa saya fikir bertanding di tempat lain sedangkan saya dah 15 tahun di Rembau. Apabila diberitahu untuk keluar dan minta saya cari tempat lain, maka saya pun kenalah berusaha jika ada kawasan lain nak terima saya.

“Nak ke tempat lain pun saya rasa malu juga nak pergi ceroboh kawasan orang lain, sebab politik UMNO ini kita bertanding di kawasan kita, di kawasan mana kita jadi ahli, dah berkhidmat, berjasa di kawasan itu.

“Apa pun, sebagai orang parti, orang tahu kesetiaan saya. Saya tak pernah lompat parti, saya UMNO, maka saya ikutlah arahan pucuk pimpinan parti.

“Kalau pucuk pimpinan minta saya bertanding di kawasan ini, saya terima. Kalau dia kata jangan bertanding pun saya kena terima sebab saya orang parti. Saya OK,” katanya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga memaklumkan sedang merisik dengan rakannya jika ada kerusi yang boleh ditawarkan untuknya, namun ia tertakluk pada arahan pucuk pimpinan parti.

“Saya tak pernah buat persiapan untuk pergi ke kawasan lain. Buat apa saya kacau tempat orang lain? Saya dah tiga penggal di Rembau.

“Tetapi tak apalah, dia (Mohamad) nak bertanding DUN, nak bertanding Parlimen juga, kita bagi laluan kepada dialah. Dia nak bertanding semua,” katanya.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan