32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Hasni sokong Tok Mat, Khairy bertanding Parlimen

Orang muda seperti Khairy secara umumnya harus diberikan peluang untuk terus bertanding dan dapat berkhidmat untuk negara

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad menyokong Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Bekas Menteri Besar Selangor itu pada masa yang sama turut menyokong bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk bertanding kerusi Parlimen.

Beliau berkata, selaku Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad sewajarnya bertanding di kerusi Parlimen manakala Khairy pula adalah orang muda dan tidak seharusnya ditinggalkan.

“Sewajarnya Datuk Seri Mohamad Hasan perlu bertanding di kerusi Parlimen.

“Pada masa sama, Khairy Jamaluddin, orang muda secara umumnya harus diberikan peluang untuk terus bertanding dan dapat berkhidmat untuk negara,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Semalam, Mohamad yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan memberi bayangan untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau dan mencadangkan agar Khairy, selaku penyandang mencari kawasan lain.

Ekoran itu, Khairy yang sudah tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Rembau membayangkan bahawa beliau tidak dapat bertanding dalam PRU-15 sekiranya gagal mendapat kawasan yang sesuai untuk ditandingi.

Menteri Kesihatan itu amat berat untuk melepaskan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad yang juga Ketua Bahagian UMNO Rembau namun terpaksa akur.

Khairy yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kali pertama bertanding di Rembau pada PRU-12 tahun 2008 dan berjaya menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin dengan majoriti 5,746 undi. – Edisi 9

Terkini

50 keluarga asnaf terima bantuan pek makanan IR Malaysia

SERAMAI 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sempena program MySinggah Ramadan yang...

Lagi Artikel Berkaitan