28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bekas pegawai khas bekas MB didakwa palsu penyata gaji

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di sini antara 26 Jun hingga 10 Julai 2018.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS pegawai khas kepada mantan Menteri Besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memalsukan penyata gaji berjumlah lebih RM15,000 empat tahun lalu. 

Tertuduh, Khairul Anuar Daud, 50, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa memalsukan dokumen slip gaji sebuah syarikat penerbangan tempatan bagi Mei 2018 atas namanya yang berjumlah RM15,820.63, dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di sini antara 26 Jun hingga 10 Julai 2018.

Dia didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Hazza Khalid dan Suraya Hani Abdul Halim. 

Advertisements

Dayang Masneh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin manakala pasport tertuduh diserah kepada mahkamah serta perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan. 

Peguam tertuduh memohon jumlah ikat jamin dikurangkan berikutan tiga anak tertuduh masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. 

Pasportnya turut diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali. 

Mahkamah menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Sekat penceramah asing pro-Zionis demi keselamatan negara – Zambry

SEKATAN terhadap penceramah asing pro-Zionis perlu dilihat dari aspek keselamatan dan imej negara yang boleh terjejas akibat kenyataan mereka. Justeru,...

Lagi Artikel Berkaitan