31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Azalina letak jawatan Penasihat Khas PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menerima surat peletakan jawatan Azalina yang bertarikh 29 Ogos lalu.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PEJABAT Perdana Menteri (PMO) hari ini mengesahkan peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia).

PMO dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menerima surat peletakan jawatan Azalina yang bertarikh 29 Ogos lalu.

“Perdana Menteri telah menerima peletakan jawatan beliau dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

“Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di PMO kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September.

“Ismail Sabri mengucapkan penghargaan dan terima kasih
atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat,” katanya hari ini.

Semalam, Azalina dalam satu hantaran menerusi Facebook sempena ucapan Selamat Hari Merdeka ke-65 turut mengesahkan bahawa setakat 31 Ogos 2022, beliau masih berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa bekas Ketua Puteri UMNO itu meletak jawatan penasihat khas kepada Perdana Menteri.

Azalina dilantik ke jawatan itu pada 2 Oktober 2021, selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos sebelum itu.

Azalina ketika menyampaikan ucapannya dalam Taklimat Presiden UMNO minggu lalu menyentuh beberapa isu mengenai kuasa yang ada pada Perdana Menteri terhadap pelantikan Peguam Negara namun mengundang kritikan pelbagai pihak.

Pada taklimat berkenaan, Ketua UMNO Bahagian Pengerang itu menyampaikan ucapan penuh bersemangat berkaitan pelantikan AG dengan antara petikan mencetuskan kontroversi adalah ‘takkan nak tukar AG pun tak boleh’.

Ismail Sabri bagaimanapun tidak hadir dalam taklimat tersebut dan menyifatkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dihadirinya berjalan dalam keadaan mesra dan harmoni.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan