AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli ke upacara pengebumian Ratu Elizabeth II di Wisminster Abbey, London pada 19 September ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, baginda berdua akan mewakili negara ke upacara yang akan berlangsung di Istana Buckingham, Isnin depan.
“Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan mewakili negara dalam upacara pengebumian Ratu Elizabeth II,” katanya pada sidang media hari ini.
Ratu Elizabeth II, yang paling lama bertakhta di dunia, iaitu selama tujuh dekad, meninggal dunia pada usia 96 tahun, pada 9 September lalu.
Istana Buckingham, dalam satu kenyataan sebelum ini mengumumkan tempoh berkabung akan berlangsung sehingga hari pengebumian negara.
Keluarga Diraja akan menyambung tempoh berkabung selanjutnya selama tujuh hari selepas itu.
Putera sulung dalam kalangan empat anak Ratu Elizabeth II, Putera Charles, dinobatkan sebagai Raja Charles III.
Raja Charles secara automatik naik takhta sebagai raja Britain dan ketua negara bagi 14 kerajaan lain termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.-BERNAMA