33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Sejauh mana undang-undang boleh menegakkan keadilan?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHD DAUD MAT DIN

SERONOK membaca ulasan dan komentar banyak pihak tentang keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri Malaysia untuk memasukkan keterangan (bukti) baharu dalam perbicaraan kes pecah amanah dalam SRC melibatkan kira-kira RM42 juta.

Yang memihak kepada beliau melihat perkara ini sebagai satu ketidakadilan. Keengganan Mahkamah Persekutuan membuka ruang kepada bukti-bukti baharu yang didakwa mempunyai kesan besar terhadap kebebasan hakim Mahkamah Tinggi dilihat sebagai satu penafian hak mendapatkan perbicaraan yang adil.

Yang bersetuju dengan Mahkamah Persekutuan pula percaya, ini hanyalah satu taktik dan pendekatan teknikal untuk melengah-lengahkan masa. Ia tidak sama sekali menafikan kesalahan yang telah disabitkan sebelum ini.

Mahkamah Tinggi telah berlaku adil dan dikukuhkan dengan penghakiman Mahkamah Rayuan. Apatah lagi segala dakwaan berkaitan konflik kepentingan tersebut tidak lebih dari sekadar percubaan mewujudkan prejudis dan persepsi ke atas seorang hakim yang berwibawa.

Lalu keluarlah segala macam maksim undang-undang seperti justice delayed is justice denied. Dan dibalas pula dengan justice hurried is justice buried.

Biar di pihak mana pun kita, kesemua ini menunjukkan bahawa isu undang-undang bukanlah isu yang pegun dan mudah. Angkubah dan perkiraan yang diteliti adalah pelbagai.

Peruntukan dan asas undang-undang harus jelas. Bukti dan fakta mesti tidak meragukan. Sentimen dan perkara-perkara yang tidak sepatutnya tidak boleh diheret masuk sama sekali. Namun, berapa ramai antara kita yang boleh bersikap neutral dan tidak prejudis?

Semasa di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL), UIAM, kami pernah diunjurkan untuk membaca The Innconent Man: Murder And Injustice In A Small Town (2006) oleh John Grisham.

Inti pati dan tema utamanya adalah tentang sistem perundangan (atau perbicaraan) yang tidak semestinya akan membawa keadilan. Terutamanya kepada mereka yang lemah, kurang berpendidikan atau teraniaya.

Benjamin John Whishaw, seorang pelakon British menyatakan, “sistem keadilan jenayah, seperti mana-mana sistem lain yang dicipta oleh manusia, tidak terlepas dari kekurangan.”

Manakala Earl Warren (1891-1974), bekas hakim Amerika menegaskan bahawa “roh sesuatu undang-undang, dan bukan bentuknya, yang menghidupkan keadilan.” Banyak sekali situasi undang-undang yang memperlihatkan perkara ini.

Jadi, tidak pelik jika ahli falsafah Rom, Marcus Tullius Cicero (106SM-43SM) berpandangan bahawa “lebih banyak undang-undang maka lebih sedikitlah keadilan.” Barangkali ini kerana, seperti yang dinyatakan oleh Thomas Hobbes (1588-1679), “bukannya hikmah yang membentuk undang-undang, tetapi autoriti.”

Orang Islam pula selalunya akan meminjam definisi keadilan itu sebagai “meletakkan sesuatu pada tempatnya.” Konsep dan definisi keadilan sebegini melihat jauh dari lingkungan dan aksara undang-undang.

Ia harus melihat hasil akhir. Ia mesti meletakkan kemanusiaan dan keadilan itu sebagai matlamat yang diangkat merentasi segala-galanya.

Berdasarkan apa yang sedar hangat dan rancak dibincangkan ini, terdapat beberapa perkara yang boleh kita rumus dan ambil pengajaran.

Pertama, undang-undang dan keadilan itu sebenarnya dua perkara yang berbeza. Ramai yang enggan menerima hakikat ini. Sedangkan, anda mungkin benar di sisi undang-undang, namun kemenangan tersebut boleh sahaja menggugurkan keadilan. Dan vice versa.

Kedua, keadilan itu bukanlah tertakluk kepada mana-mana pihak yang terlibat. Mereka mempunyai konflik, kepentingan dan kemahuan masing-masing.

Mahkamah tidak ada pernah boleh memuaskan hati semua pihak. Sebab itu kita sering sahaja melihat, mereka yang sebelum ini menghamun mahkamah hari ini memuji ketegasan institusi tersebut. Dan sebaliknya.

Ketiga, pendekatan terbaik sebagai orang awam adalah untuk tidak menjadi emosi sebagai panduan. Kita akan tersasar. Paling penting, kita akan gagal menjadi pemerhati yang baik.

Biar apa pun sistem, dan seribu satu prosedurnya, semoga keadilan akan sentiasa ditegakkan. Bak kata William Gandis (1922-1998):

Justice? You get justice in the next world, in this world you have the law.

  • Penulis adalah pembaca Edisi 9. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan