PADAH buat seorang lelaki mengganggu seorang gadis apabila dia diikat oleh abang gadis itu dalam kejadian di Gombak, kelmarin.
Kejadian itu turut tular selepas rakaman video berdurasi 13 saat menunjukkan lelaki dalam keadaan terikat duduk di tepi sebuah kereta peronda polis dimuat naik dalam media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, suspek berusia 21 tahun diikat oleh seorang lelaki yang tidak puas hati kerana suspek mengganggu adik perempuannya.
“Bapa remaja perempuan itu tidak mahu membuat laporan polis kerana mengenali suspek dan keluarganya.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan salah faham berkenaan secara baik,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan video yang tular itu adalah kes peragut ditangkap.
Menurutnya, polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes ragut di kawasan berkenaan pada masa itu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
-EDISI9